Categories
KENYATAAN MEDIA

Kos sara hidup tinggi himpit kemiskinan bandar

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Pada 14 Disember lalu, akhbar Utusan Malaysia, The Star dan The New Straits Times melaporkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun ini dengan memetik Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) atau Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan Bank Dunia.

Pada 2018, Malaysia diunjur mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana pada 5.2 peratus, demikian menurut laporan itu.

Malah Bank Dunia menjangka Malaysia boleh menjadi negara berpendapatan tinggi secepat 2020.

Bank Dunia juga mengunjurkan pendapatan kasar negara atau GNI per kapita akan mengatasi had pendapatan tinggi US$12,236 (RM49,923) antara 2020 and 2025.

Buat masa ini purata GNI per kapita Malaysia dianggarkan bernilai US$ 9,660 (RM39,413), atau US$ 2,576 (RM10,510) kurang daripada had yang ditetapkan.

Menurut Bank Dunia lagi, dengan permintaan domestik dan luaran yang terus kukuh, pertumbuhan Malaysia dijangka terus utuh apabila masuk 2018.

Jika diteliti laporan oleh Bank Dunia setebal 76 muka surat itu (boleh didapati di laman sesawang World Bank), siapalah saya untuk mempersoalkannya tetapi jika dilihat pula laporan oleh media perdana berkenaannya dan dibandingkan dengan laporan Bank Dunia maka saya kira ia pelaporan yang terpilih, untuk menggambarkan yang positif sahaja sedangkan terdapat juga beberapa bahagian yang ditegur oleh Bank Dunia.

Pertama, menurut muka surat 24 laporan Bank Dunia berkenaan, keluarga yang miskin ialah yang paling teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Ia tambah buruk dengan kurangnya perumahan mampu milik. Ya, ini juga terkandung dalam laporan Bank Dunia.

Laporan berkenaan berkata, kenaikan tekanan inflasi sejak beberapa tahun memberi kesan tidak seimbang kepada isi rumah berpendapatan rendah, terutama di kawasan bandar yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan dan perkhidmatan yang merekodkan kenaikan harga ketara.

Kaji selidik berkaitan perbelanjaan isi rumah tahun lepas menunjukkan ketidakseimbangan yang jelas dalam kandungan perbelanjaan isi rumah merentasi tahap pendapatan berbeza.

Menurut laporan tersebut lagi, isi rumah di tahap pendapatan paling rendah berbelanja hampir 40 peratus daripada perbelanjaan makanan, berbanding dengan 25 peratus di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi.

“Isi rumah yang paling miskin mengalami ketidakseimbangan akibat daripada kenaikan tekanan inflasi sejak beberapa tahun lepas dengan kenaikan relatif harga makanan,” kata laporan berkenaan.

Kenaikan kos ternyata lebih ketara di kawasan bandar di mana kenaikan harga barang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar.

Ia bertambah buruk dengan kemerosotan berterusan terhadap rumah mampu milik sejak 2012 akibat daripada kekurangan perumahan tersebut.

Dengan kata lain, sudahlah pendapatan mereka (khususnya rakyat yang menetap di bandar) rendah, mereka terpaksa menanggung harga barang yang mahal dan membayar harga sewa rumah yang tinggi kerana tidak mampu membeli rumah yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dimilik.

Menurut Bank Dunia, kenaikan mendadak harga rumah sejak 2008 boleh menjadi faktor ketidakstabilan masa depan.

Laporan itu berkata kenaikan harga rumah boleh mengurangkan kekangan pinjaman dan membolehkan pemilik rumah sedia ada meningkatkan penggunaan, dengan itu meningkatkan ekonomi.

Tetapi umpama pisau bermata dua, kenaikan harga yang mendadak mewujudkan insentif bagi pembinaan hartanah baru, yang menyebabkan ledakan harga dan pelarasan mendadak terhadap kegiatan ekonomi.

Akhirnya jumlah pembinaan hartanah melebihi permintaan tetapi lambakan itu tidak pula menyelesaikan masalah rumah mampu milik kerana harga rumah terlalu mahal untuk dibayar oleh isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri dilaporkan berkata, ketidakseimbangan pasaran hartanah boleh memberi risiko besar ke atas keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan.

Sebagai langkah sementara, Kabinet baru-baru ini mengarahkan pengeluaran permit dibekukan kepada pemaju yang hendak membina pusat beli-belah, bangunan komersial dan kondominium berharga RM1 juta ke atas, berkuat kuasa 1 November.

Namun selesaikah masalah permintaan dan bekalan hartanah (demand and supply) serta kemiskinan bandar dengan kaedah ini?

Kedua, Bank Dunia juga menasihatkan Malaysia untuk memberi perhatian kepada penambahbaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana pada pendapatnya terdapat masalah ketidakadilan agihan kekayaan dan peluang terutama buat isi rumah B40 di mana perkongsian pendapatan mereka berkurangan daripada 16.8% (2014) kepada 16.4% (2016-17).

Ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian kepada pendapatan dan kos sara hidup mereka, terutama yang berpendapatan rendah dan menetap di kawasan bandar, kata Bank Dunia.

Pendek kata, kaedah kelayakan BR1M perlu dikajisemula berdasarkan tahap pendapatan, manfaat dan kawasan. Manakala pengenalan subsidi tersasar perlu dikembalikan, terutamanya subsidi minyak yang memberi kesan besar kepada kenaikan kos pengangkutan.

Ketiga, meskipun Bank Dunia melaporkan Malaysia boleh menjadi negara berpendapatan tinggi secepat 2020, tahukah kita bahawa penanda yang digunakan untuk mengukur konsep negara berpendapatan tinggi sangat bermasalah?

Banyak pihak dalam komuniti penyelidikan dan gerakan massa sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada kaedah yang digunakan untuk mengukur pendapatan menggunakan dollar Amerika. Ia bukan mata wang yang majoriti rakyat Malaysia perolehi atau gunakan.

Dalam masa yang sama, bolehkah diabaikan sahaja yang kebanyakan isi rumah yang berpendapatan rendah masih tidak berubah situasi mereka dan isi rumah Bumiputera masih berada dalam kelompok 40 peratus terbawah dalam strata isi rumah di Malaysia?

Bolehkah diabaikan sahaja bahawa kebanyakan pendapatan negara ini pada tahun 2020 berkelompok dan tertumpu hanya kepada 100 orang di negara ini?

Malaysia ialah antara negara yang mempunyai jurang pendapatan yang paling lebar antara yang kaya dan miskin.

Kesimpulannya, kemajuan sesebuah negara dan rakyatnya tidak hanya boleh disandarkan hanya kepada angka KDNK, GNI per kapita dan negara berpendapatan tinggi. Hakikatnya, sasaran itu hanyalah satu nombor yang tiada makna jika realitinya rakyat susah!

Menurut Bank Dunia, meskipun GNI per kapita dianggap mewakili tahap kesihatan ekonomi negara namun ia tidak mencerminkan secara menyeluruh dan holistik akan aspek besar kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Ia juga tidak semestinya menangani isu agihan kekayaan di seluruh negara dan segmen masyarakat.

Pihak media tajaan Umno BN juga perlu memberi laporan yang adil terutama dalam memetik laporan seperti Bank Dunia.

Janganlah melapor kerana agenda politik semata. Pelaporan yang beretika bermakna pelaporan yang tepat, adil dan profesional.

Rakyat juga perlu bijak menilai laporan dan berita yang keluar daripada lidah Umno BN. Ada masanya benar tetapi kebanyakan masa hanya berita yang baik-baik keluar. Berita yang negatif hilang entah ke mana.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Rakyat bijak menilai

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Negara akan menyambut Hari Kebangsaannya pada hari Khamis 31 Ogos ini di sebalik latar belakang kemenangan dan kejayaan Sukan SEA yang ke-29. Tahniah kepada rakyat Malaysia dan mereka yang menjayakannya!

Sebagaimana boleh diramalkan, kedua-dua peristiwa penting ini bakal menaikkan imej negara di mata rakyat kerana semangat kemerdekaan dan mood positif yang mahu ditonjolkan.

Maka apakah Datuk Seri Najib akan bubar parlimen dengan segera untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14?

PRU-14Soalan yang tidak kurang pentingnya ialah apakah rakyat kaitkan mood positif Hari Kebangsaan dan Sukan SEA dengan sokongan kepada Umno BN dalam PRU-14?

Pada pendapat saya, ia tidak semudah itu kerana rakyat bijak menilai. Sementara faktor mood positif itu tidak dinafikan boleh memihak kepada Umno BN sebagai parti pemerintah, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira.

Malah soal apakah mood positif itu boleh diterjemahkan kepada undi juga perlu dijawab dengan jujur bukan dengan “hooha”.

Lagi pun, bukan sewajarnya pentas sukan boleh dipolitikkan dengan kemasukkan Menteri Belia dan Sukan dalam acara polo Sukan SEA apatah lagi menagih sokongan undi atas kesungguhan atlet mencipta kemenangan.

khairyseaSecara peribadi, saya kagum dengan komitmen Khairy Jamaluddin tetapi saya percaya sebagai seorang bertaraf Menteri dan tuan rumah Sukan SEA, beliau seharusnya tidak terlibat sebagai peserta.

Lebih baik tumpu kepada penganjuran dan penyelesaian masalah yang timbul. Selain isu bendera Indonesia yang terbalik, antara lain terdapat rungutan tentang urusan pengangkutan skuad sukan, kesukaran media mendapatkan maklumat pertandingan dan keputusan terkini.

Hakikatnya, isu keperitan hidup rakyat belum terungkai dengan masalah kos sara hidup yang tinggi, harga barang yang melambung dan cukai GST yang menekan.

Begitu juga isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih menjadi misteri bagaimana wang dana strategik boleh mengalir keluar ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Jho Low, Riza Aziz dan ramai lagi.

Ini semua tidak boleh dilupakan dan tidak akan hilang daripada radar rakyat dan antarabangsa.

Justeru walaupun mood positif itu benar atau “real” dan atlet Sukan SEA negara bakal berjaya meraih emas terbanyak dalam sejarah negara, namun saya percaya mereka lakukannya bukan kerana Datuk Seri Najib atau Khairy Jamaluddin atau mana-mana ahli politik.

Mereka lakukannya kerana mereka sayangkan negara dan sumbangan mereka boleh menaikkan imej negara yang telah rosak akibat kepincangan pemimpin politik khususnya Umno BN.

Untuk itu sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada atlet, jurulatih dan penyokong.

Atas sebab itu juga, saya percaya jika Malaysia ditadbir urus dengan baik oleh kepimpinan negara yang amanah dan berwibawa tanpa rasuah dan penyelewangan, dengan wujudnya semak dan imbang yang berkesan, dengan pengurusan ekonomi yang mampan serta agihan kekayaan yang saksama di mana keselamatan, kesihatan dan kebajikan rakyat terpelihara, maka rakyat akan lebih-lebih lagi berbesar hati memberi sumbangan tidak kira dalam sukan, pendidikan atau sains dan teknologi.

Malah saya yakin, negara dan rakyatnya boleh mencapai kecemerlangan yang lebih baik dalam sukan atau apa juga bidang lain.

Sebagai rakyat yang patriotik, kejayaan negara mencapai kemerdekaan dan kegigihan menjulang kemenangan dalam sukan amat bermakna tetapi ia tidak memadai selagi pemimpin negara tidak patriotik membela nasib rakyat.

Ia wajib diterjemahkan kepada kesejahteraan dan kemajuan yang menyeluruh serta mendasar buat rakyat.

Dengan erti kata lain, ia tidak boleh dijustifikasi hanya dengan angka-angka rasmi ekonomi, penganalisis kewangan, perunding antarabangsa atau projek mega yang manfaatnya belum tentu diraih tetapi propagandanya mega hebat.

Malah, lebih buruk lagi jika projek atau inisiatif mega itu rupa-rupanya lubuk rasuah dan penyelewengan.

Dasar yang benar-benar berpaksikan rakyat wajib ditawarkan supaya masalah atau isu rakyat dan negara dapat ditangani dengan tuntas.

Selama ini dasar yang dibawa oleh parti pemerintah telah tersasar daripada matlamat asal sehingga bukan sahaja rakyat tidak mendapat faedah daripadanya tetapi terpaksa menanggung susah dan derita akibat daripadanya.

FELDAContohnya seperti apa yang berlaku kepada FELDA. Ditubuhkan untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi peneroka tetapi tidak berjaya malah ada yang menangguk di air keruh daripada hasil dan dana FELDA serta peneroka.

Pemimpin silih berganti tetapi nasib peneroka tidak terbela.

Begitu juga dengan cukai GST. Semua rakyat tidak terkecuali daripada cukai tersebut tetapi faedahnya tidak kembali kepada rakyat. Sebaliknya rakyat terpaksa berdepan dengan harga barang yang tinggi dan kuasa membeli yang rendah.

Apa juga dasar yang tersasar daripada berpaksikan rakyat telah merampas kebahagiaan buat rakyat.

Pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti komponennya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah tekad membela rakyat dan bermuafakat untuk membuat perubahan dalam PRU-14.

Pembelaan rakyat berpandukan kepada prinsip keadilan sosial yang merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama menjadi teras kepada tawaran oleh PH.

Meskipun lanskap politik negara agak rencam, dinamik dan tidak sunyi daripada krisis namun tanggungjawab untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui PH wajib diperkukuhkan.

Ramai yang telah mengatakan hanya dengan sebuah pakatan pembangkang yang berwibawa maka BN boleh ditumbangkan. Justeru PH tidak boleh dilihat lemah atau celaru.

Krisis akan datang dan pergi sama ada ditimbulkan oleh lawan atau daripada dalam parti sendiri namun tumpuan kepada isu rakyat tidak boleh sama sekali dikesampingkan.

Benar, krisis dan perbezaan pendapat mungkin tidak manis ditonton luar namun kadangkala ia tidak boleh lagi dibendung melainkan dengan aksi dan tindakan yang telus.

Selagi ada panduan pimpinan yang bijaksana dan kejelasan tanggungjawab berpegang kepada prinsip perjuangan yang mengatasi kepentingan peribadi dan kuasa semata-mata, maka itulah yang akan membezakan parti-parti dalam PH dengan Umno BN.

KEADILAN wajib dilihat begitu malah relevan dalam menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Rakyat akan menilai semuanya.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Adakah Umno masih komited pertahan ideologi Melayu-Islam?

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Sempena sambutan ulang tahun ke-71, saya rasa terpanggil untuk menceritakan imej Umno sebenar hari ini yang cukup berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh Umno pada tahun penubuhan 1946.

Jika rakyat masih beranggapan bahawa Umno ialah ‘pembela Melayu Islam’, maka sudah pasti mereka adalah golongan yang tertipu dengan golongan yang menggunakan nama bangsa dan agama untuk terus mendapat kuasa yang menzalimi rakyat sendiri.

Pertama, rakyat diperlihatkan hari ini beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi yang beridentitikan bumiputera dan Islam telah terpalit dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang semakin membarah. Antaranya ialah:

1. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) – Skandal tahun 2015 ini membabitkan kumpulan wang infak yang seharusnya diberikan kepada anak-anak yatim.

Malangnya, sebanyak RM 410,978.56 telah didakwa digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir untuk membiayai perjalanan ke AS bersama isterinya, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Mengapa wang kebajikan yang dituntut Islam dibelanjakan untuk perkara yang salah?

MARA PENDIDIKAN2. Majlis Amanah Rakyat (MARA) – Institusi berjenama bumiputera ini telah dikaitkan dengan skandal pembelian hartanah di Melbourne yang didedahkan pada tahun 2015 melibatkan dana sejumlah RM129 juta. Terbukti kes ini sekarang dalam proses siasatan.

Pada tahun yang sama, saudara Rafizi Ramli telah mempersoalkan pengurangan biasiswa pendidikan MARA untuk bumiputera. Adakah wang yang disalahgunakan akhirnya memangsakan golongan bumiputera sendiri?

3. Tabung Haji – Rakyat pernah dikejutkan dengan transaksi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Tabung Haji melibatkan sejumlah dana RM 188.5 juta melibatkan wang pendeposit.

Walhal kerajaan memberikan tanah tersebut kepada 1MDB sebelumnya dengan harga yang jauh lebih murah. Ditambah lagi dengan kerugian anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Heavy Engineering Berhad, adakah Umno masih bersungguh untuk mempertahankan ideologi mereka.

4. FELDA – Isu kerugian FGV sehingga berlakunya pertukaran tempat untuk Pengerusi FELDA mendapat respon dari pelbagai pihak.

Penjualan semula saham FGV oleh KWSP setelah KWSP rugi RM 203.18 juta baru-baru ini menyebabkan reputasi FELDA sebagai sebuah GLC membantu peneroka-peneroka majoriti Melayu semakin terjejas.

Tambahan pula, Konvensyen Warga FELDA yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan dan ANAK tahun ini membuktikan bahawa kebajikan peneroka semakin diketepikan, termasuklah kelewatan bayaran wang sara hidup dan penyiapan rumah generasi kedua FELDA.

feldaAdakah pemerintah, yakni Umno sudah hilang semangat untuk membantu bumiputera tetapi bersemangat mementingkan kroni dan diri sendiri?

Kedua, saya tertarik dengan isu ekonomi rakyat Malaysia, terutama mengenai jurang kekayaan dalam kalangan bumiputera sendiri.

Laporan Tahunan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2016 menunjukkan bahawa 73.13 peratus pemegang unit terkecil dalam ASB hanya menguasai 2.48 peratus jumlah keseluruhan unit. Manakala 8.94 peratus pemegang unit terbesar menguasai 79.63 peratus dari keseluruhan 144 billion unit dalam ASB.

Data ini jelas menunjukkan berlakunya jurang pemilikan aset cair antara golongan kaya dan miskin bumiputera.

Malah saya yakin bahawa ketika Presiden Umno mendapat ‘derma’ RM2.6 bilion, masih ada golongan bumiputera miskin yang tinggal di rumah usang mahupun tidak memiliki apa-apa kekayaan harta.

Kajian dilaksanakan oleh Muhammad Abdul Khalid yang dipaparkan dalam buku beliau “The Colour of Inequality” (Versi Bahasa Malaysia: “Antara Dua Darjat”) menunjukkan bahawa kelompok bumiputera mempunyai jurang aset kewangan yang paling tinggi, iaitu dengan petunjuk GINI Coefficient sebanyak 0.88.

Tambah beliau, Umno kurang prihatin dan pengetahuan mengenai isu ini, memandangkan Umno dikatakan lebih tertumpu pada wang dan kuasa dan memandang isu ini sebagai tidak relevan pada masa kini.

Jika realitinya Umno tidak mengambil berat mengenai sosio-ekonomi bumiputera semata-mata tertumpu pada kekayaan kroni dan kumpulan kleptokrat, maka terbuktilah bahawa ideologi perjuangan Umno sebenarnya ibarat ‘indah khabar dari rupa’.

1MDB02Mereka menggunakan nama bangsa dan agama untuk mendapatkan sokongan dan mengelirukan rakyat, terutama mereka yang tinggal di desa dan tidak mampu mendapat capaian media alternatif.

Saya yakin untuk pilihan raya kali ini, Umno tetap akan menggunakan strategi provokasi bangsa dan agama untuk meraih undi.

Tema ‘Penyatuan, Maruah dan Martabat Perjuangan serta Kesetiaan’ untuk ulang tahun Umno kali ini adalah bicara kosong dari sebuah organisasi yang semakin tenggelam dengan rasuah, salahguna kuasa dan kerapuhan ideologi.

Pakatan Harapan mempunyai matlamat dalam membentuk sebuah negara yang memperjuangkan kesemua rakyat Malaysia.

Pendirian Pakatan Harapan adalah tetap: Reformasi pentadbiran diperlukan melalui jalan pilihan raya.

Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahukan perubahan negara ke arah yang positif, dan tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada Umno dan Barisan Nasional untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Jadikan pilihan raya umum kali ini sebagai pencetus perubahan.
*Syed Ibrahim adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tidak berpijak di bumi nyata

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa kos sara hidup di Malaysia paling rendah dalam kalangan negara Asean tidak membawa makna apabila rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barangan serta pemansuhan pelbagai subsidi.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, masyarakat bijak membezakan keperitan menanggung kos sara hidup berbanding zaman sebelumnya, walaupun ia digula-gulakan dengan pengiktirafan kaji selidik antarabangsa.

Katanya, pengiktirafan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan dengan 133 bandar raya di seluruh dunia langsung tidak menggambarkan realiti kehidupan.

“Kenyataan Najib kononnya untuk merangka pelbagai program memacu pendapatan dan mengurangkan harga barangan hanya retorik yang diulang.

“Apa yang kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) lakukan sepanjang pentadbirannya kerana pendapatan rakyat tidak meningkat dan apakah usaha kerajaan Najib mengurangkan harga barangan?” katanya dalam kenyataan.

Syed Ibrahim berkata, ketika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Najib terus gagal menyelesaikan beban rakyat, skandal kewangan terutama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membangkitkan kemarahan ramai, manakala lambakan rasuah terus berleluasa.

Beliau berkata, Najib yang ingin menjadikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi juga nyata tidak berpijak di bumi nyata, malahan ia sangat bertentangan dengan realiti kehidupan semasa ekonomi rakyat.

Syed-Ibrahim-Syed-Noh“Pengiktirafan itu bertentangan dengan dapatan Jabatan Statistik yang dikeluarkan pada 19 April lalu dan menyaksikan pelbagai indeks komponen mengalami paras kenaikan harga hampir 30 peratus.

“Komponen pengangkutan merekod kenaikan tertinggi sebanyak 23 peratus, diikuti komponen makanan dan minuman bukan alkohol (4.1 peratus) manakala komponen perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api naik (2.1 peratus).

“(Lebih parah) petunjuk inflasi keseluruhan meningkat 5.1 peratus, manakala inflasi teras yang tidak mengambil kira harga makanan dan bahan api yang kerap berubah, pada paras 2.5 peratus,” katanya.

Terdahulu, Najib berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara Asean mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah hasil daripada pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan salahkan rakyat jika slogan MO1 merata tempat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pihak berkuasa mahupun Kerajaan Persekutuan tidak boleh menyalahkan pembangkang, mahasiswa dan orang ramai sekiranya slogan Malaysia Official 1(MO1) timbul di merata-rata tempat.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata ia kerana pihak berkenaan hanya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang prihatin terhadap wang rakyat yang dirompak.

Katanya, mereka bukannya menuntut untuk diberikan habuan sejuta daripada berbilion wang diselewengkan, namun hanya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

“Satu dunia sudah tahu siapa MO1. Yang anehnya ada penyokong tegar PM melancarkan hashtag #weareallmalaysianofficial1, tanpa sedar MO1 yang dipetik dalam laporan DoJ antara yang didakwa sama-sama seleweng dana 1MDB untuk beli jet peribadi, hartanah mewah, lukisan mewah dan bayar hutang judi kasino.

Syed Ibrahim Syed Noh“Oleh kerana belum kelihatan tindakan seriuspihak berkuasa malah berlakunya penafian Perdana Menteri sendiri tentang penglibatannya maka berlanjutanlah teka-teki yang paling mudah diselesaikan.

“Sebab itu jangan salahkan orang ramai, pembangkang atau mahasiswa jika slogan “Siapa MO1?”, “#TangkapMO1”, “Saya Bukan MO1” atau “PokeMO1 Go” timbul merata-rata dan himpunan aman #TangkapMO1 mahu diadakan pada Sabtu 27 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan.

Syed Ibrahim berkata rakyat hanya menuntut janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang menyatakan bahawa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan diumumkan malah beliau turut memberi jaminan bahawa individu atau pihak terlibat dalam penyelewengan tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.

Namun begitu, laporan berkenaan bukan sahaja tidak diumumkan malah turut diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Justeru siapakah yang berdolak-dalik, berbohong dan mungkir janji?

“Adakah orang yang mendedahkan salah laku 1MDB atau orang yang merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka daripada diketahui oleh rakyat?”soalnya.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim memaklumkan bahawa semua pihak wajib memberi desakan supaya identiti MO1 dapat didedahkan demi agama, negara dan rakyat.

-nR-

Categories
SELANGOR

Hak Rakyat Terus Dicabuli, Suaram,GMI Gesa Kerajaan Mansuh Akta Kesalahan Keselamatan

Yazid Sufaat Penjara 01

SHAH ALAM 8 FEB : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dengan segera.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, rakyat Malaysia masih diancam undang-undang drakonian seperti ISA.

Katanya, tangkapan seorang bekas tahanan ISA, Yazid Supaat dan pekerjanya, Hilmi Hasim memperlihatkan hak asasi rakyat Malaysia terus dicabuli.

“Tidak cukup dengan enggan membebaskan 23 orang baki tahanan ISA, kerajaan pula membenarkan undang-undang rimba seperti Akta Kesalahan Keselamatan menzalimi rakyat.

“Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia.

“Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan kerana dilihat mirip ISA yang dimansuhkan tahun lepas.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tiga individu termasuk seorang wanita yang menjadi mangsa pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) semalam.

“Tiga individu yang ditahan tidak dimaklumkan secara jelas mengenai sebab mereka ditahan. Mereka juga ditahan tanpa waran atau sebarang notis daripada pihak polis, yang kemudiannya digeledah kediamannya untuk mencari bukti bahan bukti yang berkaitan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, cara penahanan sebegitu rupa adalah sama dengan cara yang diamalkan polis semasa melakukan tangkapan di bawah ISA.

“Lebih parah apabila mereka yang ditahan tidak dibenarkan bertemu peguam mahupun ahli keluarga sehingga 48 jam daripada waktu mereka ditahan. Keadaan ini berbeza dengan ISA yang masih memberi hak tahanan untuk mendapat konsultasi guaman sebaik sahaja ditahan,” katanya.

Syed Ibrahim menambah, daripada cara penahanan dibuat jelas menunjukkan tidak banyak bezanya antara akta baru yang menggantikan akta lama, bahkan Akta Kesalahan Keselamatan ini lebih banyak mencabuli hak asasi orang yang ditahan.

“Apakah ini yang dikatakan sebagai transformasi oleh Perdana Menteri? Transformasi daripada undang-undang zalim kepada undang-undang yang juga zalim.

Semalam, Yazid bersama pekerjanya, Hilmi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani.

Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan.

Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada Disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafeteria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Pagi tadi, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menggalakkan pelakuan keganasan di antara 1 Ogos hingga 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) antara jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi di DL11, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya Ampang, dalam daerah Ampang Selangor.

Turut didakwa bersamanya adalah Halimah Hussein yang dituduh bersubahat dengannya di alamat yang sama.

Categories
NASIONAL

GMI: Sudah Ada Akta Baru, Mengapa Tahanan ISA Tidak Dibebaskan

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Gabungan Mansuh ISA(GMI) menganggap langkah transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan sekarang tidak bermakna berikutan masih terdapat 30 individu yang masih ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September tahun lalu.

Pengumuman pemansuhan akta zalim itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia yang hampir genap setahun lalu.

Kononnya, pemansuhan itu juga merupakan sebahagian dari langkah kerajaan dalam melaksanakan program transformasi terhadap sistem pentadbiran dan politik negara.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh langkah kerajaan memansuhkan ISA ketika itu jelas membuktikan kerajaan mengakui kewujudan undang-undang pencegahan itu sudah tidak relevan lagi.

“Oleh itu, apa rasionalnya kerajaan masih membirkan tahanan dikurung di bawah undang-undang yang tidak relevan ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di sini.

Syed Ibrahim turut memetik kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Mohd Bakri Zinin pada 12 September lalu yang mendakwa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mentangani isu keselamatan negara.

Oleh itu, GMI mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri membebaskan 30 tahanan ISA yang masih ditahan di bawah akta yang diwarisi dari Kerajaan British ketika menjajah Malaya.

Laporan NST Tidak Bertanggungjawab

Dalam pada itu, GMI menolak kenyataan seorang pegawai di Kem Tahanan Kamunting bahawa wujudnya kegiatan tahanan ISA yang menjalankan kegiatan pemerdagangan orang dari dalam kem tahanan.

Kenyataan yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 10 dan 11 September lalu antaranya menyebut kegiatan tersebut dijalankan tahanan melalui ‘kaki-kaki subahat’ mereka dan sindiket yang masih bergiat aktif di luar.

Bagaimanapun menurut Syed Ibrahim dakwaan tersebut merupakan cubaan untuk membuktikan bahawa ISA penting bagi mengekang perilaku jenayah tegar.

“GMI memandang berat laporan NST berkenaan dari sudut mesej yang ingin disampaikan iaitu pertama, melaporkan tahanan ISA sebagai pesalah yang terlibat dalam jenayah sedangkan tidak pernah terbukti di mahkamah.

“Kedua, kegagalan polis mentangani isu pemerdagangan orang dan ketiga mempersoalkan pemansuhan ISA dan cubaan menjustifikasikan penahanan tanpa bukti, bicara dan pembelaan,” kata Syed Ibrahim.

Menurut beliau lagi, kenyataan itu tambah meragukan apabila setiap panggilan telefon yang dibuat oleh tahanan sentiasa dipantau oleh pegawai kem tahanan.

“Kenyataan tersebut juga diragui kerana setiap panggilan yang dibuat akan dikawal rapi dan hanya perbualan berbentuk kekeluargaan sahaja yang dibenarkan.

“Sekiranya panggilan yang dibuat disyaki boleh mendatangkan risiko jenayah, maka panggilan itu akan ditamatkan,” ujar Syed Ibrahim lagi.

Categories
SELANGOR

Walau Dihalang SPR : Tugas Mafrel Pantau Pilihan Raya Tidak Terjejas

SHAH ALAM 3 OGOS : Tugas Badan Malaysia Untuk Pilihan raya Bebas dan Adil (Mafrel) tidak akan terjejas walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengiktiraf tugas badan itu bagi memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata untuk penambahbaikan proses demokrasi sewajarnya pihak SPR mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan pemantauan dan memberikan input dan maklum balas yang baik untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya.

“Mafrel akan meneruskan kerja dan kini sedang rancak untuk melaksanakan pemantauan semasa PRU-13, bagi Mafrel sendiri kita akan bertindak berdasarkan pengalaman dan perancangan yang sudah kita buat.

“Mafrel untuk melaksanakan tugas tidak akan terhalang kerana proses pemantauan ini luas, ia bukan hanya pemantauan pada hari mengundi tetapi merangkumi tugas untuk memeriksa daftar mengundi yang boleh dilaksanakan bila-bila masa sahaja,” kata Syed Noh ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, Mafrel masih boleh membuat pemantauan semasa proses penamaan calon yang boleh dilakukan daripada luar kawasan yang ditetapkan SPR dan juga pada waktu berkempen.

“Yang mungkin tidak boleh ialah cuma di kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai kawasan larangan oleh pihak SPR khususnya pusat penamaan calon dan pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi,lain-lain tempat adalah terbuka untuk Mafrel melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, SPR memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada badan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya berikutan aduan yang diterima.

Sementara itu,Syed Noh menegaskan keperluan untuk pihak pemantau antarabangsa dibenarkan bagi melaksanakan tugas dengan pemantauan semasa PRU-13 nanti.

“Pemantau antarabangsa akan membuat pemantauan secara umum dan peringkat tertinggi sahaja seperti soal keselamatan,demokrasi dan hak asasi secara umum,”katanya.

Categories
SELANGOR

Mogok Lapar ISA : GMI Protes Di Depan Parlimen 28 Jun

SHAH ALAM 27 JUN : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan protes pada 28 Jun (Khamis) ini di hadapan bangunan Parlimen mendesak Menteri Dalam Negeri segera bertindak dalam menjawab tuntutan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang sedang bermogok lapar.

Penyelaras Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sehingga hari ini sembilan orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar.

Mogok lapar dimulakan oleh dua orang tahanan iaitu Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan pada hari Khamis lalu.

“GMI juga mendapat maklum, Razali dan seorang warga Sri Lanka diasingkan daripada tahanan lain oleh pihak kem tahanan kerana melakukan mogok lapar.

“Fadzullah pula sememangnya mengalami Solitary Confinement (Kurungan Sendiri) sejak dua bulan lalu atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan,” kata Syukri dalam kenyataan medianya.

Menurut Syukri, keadaan tahanan juga dilaporkan semakin lemah kerana mereka hanya minum air tanpa mengambil sebarang makanan sejak enam hari lalu.

Mereka melancarkan mogok lapar kerana kecewa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri yang enggan menjawab tuntutan mereka yang ingin dibebaskan segera.

“Apa yang sepatutnyanya dilakukan ialah pihak Menteri Dalam Negeri perlu segera membebaskan tahanan dan bukannya menghukum mereka yang bermogok lapar,” ujarnya.

Jelas Syukri, melalui pertemuan dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan menuntut agar mereka dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah sekiranya pihak kementerian memiliki bukti untuk mendakwa mereka.

Tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan dan membiarkan tahanan berlapar merupakan sifat yang tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri.

“GMI akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Hishamuddin Hussein segera menjawab tuntutan tahanan ISA yang ingin dibebaskan segera,” katanya.

Ujar Syukri, memorandum itu juga akan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung penderaan yang berlaku ke atas tahanan seperti mana yang dilaporkan oleh GMI baru-baru ini.

Protes akan bermula pada jam 11 pagi dan akan dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI.

Categories
NASIONAL

Memorandum Mansuh ISA Desak PM Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara,  beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh  Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.

Mafrel: Isu Utama Adalah Daftar Pemilih

SHAH ALAM 5 APRIL : Badan Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) berpendapat hasrat rakyat untuk menikmati sebuah pilihanraya yang bersih dan adil untuk sesi akan datang tidak akan kesampaian selagi masalah daftar pemilih tidak dilakukan secara berhemah..

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) yang hanya meluluskan penggunaan dakwat kekal dan selebihnya tidak diberi penekanan sebagaimana termaktub dalam tuntutan BERSIH 2.0.

Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata penggunaan dakwat kekal hanya berperanan mengekang pengundi berganda sebaliknya apa yang menimbulkan persoalan terhadap ketulusan proses pilihanraya ialah daftar pemilih yang masih meragukan.

“Isu daftar pengundi masih belum selesai sehingga keputusan PSC baru-baru ini, isu berhubung keraguan terhadap isu ini nampaknya masih tidak ditangani dengan tuntas.

“Dari satu sudut, kita masih tidak mampu menyelesaikan isu ini kerana masih ada ruang untuk wujud keraguan,”jelasnya.

Persoalan 42,000 pengundi meragukan setakat ini, masih belum lagi dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Selain itu, 65,000 pengundi direkodkan berumur 85 tahun hingga 100 tahun juga dipersoalkan.

Ini ditambah dengan 4,500 nama isteri anggota polis didaftarkan sebagai pengundi pos oleh SPR.

“Sekirannya perkara ini boleh dibuktikan bahawa masih lagi ada, ini bermaksud kita belum lagi ada satu senarai daftar pemilih yang bersih.

“Kembali kepada isu pokok, jika kita masih dengan daftar pemilih yang meragukan, selagi itulah kita akan ada masalah dengan pilihanraya dan keputusan yang akan keluar selepas PRU-13 akan datang, tidak kira parti manapun yang menang,”jelasnya.

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 : Perjelas Pemindahan Mengundi MB

SHAH ALAM 16 MAC : Pemindahan tempat mengundi tanpa penjelasan kepada pengundi seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sudah hilang kredibiliti.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang memantau pilihanraya berpendapat SPR perlu menghantar notis kepada setiap pengundi berkenaan apa-apa pertukaran terhadap status mereka.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendesak SPR supaya menjelaskan status kes Abdul Khalid dan memastikan yang ia melaksanakan tugasnya dengan professional dan adil.

Maria berkata pemindahan itu satu indikasi jelas yang Kerajaan Umno-BN masih tidak dapat memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil, dan kerana itu, satu lagi perhimpunan besar-besaran mungkin akan diadakan bagi memaksa kerajaan melaksanakan tuntutn Bersih 2.0.

Semalam, media melaporkan kawasan mengundi Abdul Khalid telah ditukar tanpa pengetahuannya. Semakan di laman web SPR mendapati Abdul Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai.

Abdul Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Pengerusi Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata SPR perlu memberi notis kepada pengundi berkenaan pemindahan kawasan mengundi untuk mengelakkan kekeliruan.

“Jadi saya percaya perkara ini boleh diatasi jika pihak SPR bukan sahaja membuat pameran notis tentang perubahan-perubahan ini tetapi juga menghantar notis terus kepada pengundi berhubung pertukaran tempat mengundi atau jika nama mereka telah dikeluarkan.

“Tidak kira siapa pun samada Menteri Besar atau masyarakat awam, sepatutnya beliau perlu dimaklumkan sebab apa pemindahan.?

Syed Ibrahim berkata SPR hanya mempamerkan beberapa pemindahan pengundi tetapi tidak mengambil langkah selanjutnya untuk memberitahu mereka.

“Tindakan SPR yang dilihat meragukan khususnya dalam konteks ini melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, jadi ia menimbulkan pelbagai keraguan dan kemudian pihak SPR nanti akan dihujani dengan pelbagai kritikan,” kata beliau.