Categories
SELANGOR

ADN lompat parti propaganda cemar imej Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari menafikan khabar angin beliau salah seorang dari empat ADN KEADILAN yang akan meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang tular di media sosial, semalam.

Beliau menganggap khabar angin itu sebagai propaganda murahan Umno-BN dan meminta semua pihak berwaspada terhadap strategi pihak lawan bagi menggugat keutuhan PAKATAN, khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14).

Yaakob berkata, tiada wakil rakyat PAS keluar daripada gabungan itu hingga mengakibatkan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kehilangan mandat.

“Saya memberi jaminan Kerajaan Selangor tetap kukuh di bawah pimpinan Mohamed Azmin. Tiada seorang pun ADN PAS meninggalkan kerajaan.

“Kami bertekad untuk terus memperjuangkan agenda reformasi bagi kepentingan rakyat. Kami juga akan memastikan satu lawan satu menentang Umno dalam PRU akan datang,” katanya menerusi Facebook, Yaakob Sapari.

YAAKOBTerdahulu, laporan menyatakan empat ADN KEADILAN dan dua ADN Bebas mengadakan kunjung hormat ke Istana Selangor bagi menyatakan pendirian tidak menyokong kepimpinan Mohamed Azmin.

Mengulas perkara itu, Yaakob berkata, beliau berada di pejabatnya sepanjang hari untuk bertemu tetamu dan menyampaikan kad Peduli Sihat.

Sementara seorang lagi ADN KEADILAN dikaitkan dalam isu sama, Dr Daroyah Alwi kini bersama Dato’ Menteri Besar di Jordan untuk menyampaikan bantuan khas kepada pelajar Selangor.

Selain Yaakob dan Daroyah, dua lagi ADN KEADILAN dikaitkan dalam isu itu ialah Rodziah Ismail dan Dr Idris Ahmad.

Sebelum itu, Kerajaan Negeri turut menolak kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal walaupun berlaku perubahan permuafakatan dalam komponen PAKATAN di peringkat Pusat.