Categories
EKONOMI NASIONAL

Penganjur skim kewangan haram diburu

SHAH ALAM, 4 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan teragak-agak menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku dan penganjur skim kewangan haram serta berjanji pesalah akan berdepan tindakan tegas.

BNM dalam kenyataan berkata, ia termasuk undang-undang ditadbir BNM, Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, di bawah undang-undang itu, tindakan juga boleh diambil terhadap pelabur yang dengan sengaja menggalak dan menyertai skim haram terbabit.

“Orang ramai perlu memastikan mereka tidak terpedaya dengan skim ini dengan merujuk kepada Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan BNM yang menyenaraikan syarikat tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang serta peraturan berkaitan ditadbir bank pusat.

“Ia juga menyediakan maklumat berkenaan ciri lazim skim kewangan haram,” kata kenyataan itu.

BANK NEGARABagi tujuan itu, satu tindakan penguatkuasaan bersama terhadap mana-mana penipuan kewangan dan komplot akan dijalankan sebagai inisiatif antara agensi diketuai Jabatan Peguam Negara di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Bank pusat itu juga memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah dan keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

“Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan perniagaan wang diarahkan untuk meningkatkan pemantauan dan pengesanan terhadap akaun pelanggan yang digunakan pelaku penipuan kewangan.

“Mereka juga diminta untuk terus mengukuhkan dasar dan proses usaha wajar pelanggan dalam mengenal pasti urus niaga dan aliran dana akaun bank yang mencurigakan supaya dapat mengelakkan institusi kewangan daripada menjadi saluran membantu skim haram itu,” katanya.