Categories
SELANGOR

Hasrat lima beradik dapat sijil kelahiran tertunai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MEI: Lima beradik dari Bukit Beruntung akhirnya berjaya memperolehi sijil kelahiran masing-masing dengan bantuan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Myself.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, mereka sebelum ini gagal berbuat demikian ekoran kesempitan hidup dan kurang ilmu pengetahuan oleh ibunya.

“Kejayaan ini adalah kerjasama pegawai Myself, P Tharmentra dan Ketua Komuniti Kaum India Kuala Kubu Bahru, Ferences Xavear Subramaniam yang membuat permohonan pada April lalu.

“Selepas sebulan, permohonan itu diluluskan sekali gus membolehkan Darshayani (12), Kumaraguru (10), Sivachakaravarthi (8), Purushotaman (6) dan Visvavinothini (4) memperolehi sijil kelahiran masing-masing,” katanya pada majlis serahan sijil kelahiran itu di pejabatnya, baru-baru ini.

Ganabatirau berkata, kesungguhan ditunjukkan Kerajaan Negeri itu bukan kerana pilihan raya umum yang semakin hampir, sebaliknya kerana keprihatinan kebajikan rakyat Selangor.

GANA “Saya berharap melalui sijil kelahiran ini, mereka dapat bersekolah dan mengubah kehidupan keluarga ke tahap lebih baik,” katanya.

Sementara itu, S Pungoday, 39, ibu kepada lima beradik itu melahirkan rasa gembira apabila hasratnya melihat anaknya bersekolah tercapai.

“Oleh kerana tiada sijil lahir, semua anak tidak dapat ke sekolah. Apabila Kerajaan Negeri mahu menolong saya, saya gembira,” katanya.

Sehingga kini, Myself sedang berusaha menyelesaikan 300 kes mendapatkan sijil lahir dengan 200 darinya dalam proses Kementerian Dalam Negeri membabitkan perkahwinan bapa atau ibu dengan bukan warganegara.