Categories
EKONOMI

Bank Negara: 238 akaun mencurigakan ditutup

KUALA LUMPUR 20 MEI: Sebanyak 238 akaun mencurigakan ditutup oleh institusi kewangan setakat 2 Mei 2017.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Muhammad Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, 108 akaun disenaraikan di bawah amaran pelanggan kewangan Bank Negara berikutan aduan orang ramai.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, individu atau perniagaan yang terbabit dalam aktiviti kewangan haram boleh didenda hingga RM50 juta dan dipenjarakan 10 tahun.

Akta itu menyediakan peraturan dan pengawalseliaan institusi kewangan, sistem pembayaran dan entiti relevan lain dan pengawasan pasaran wang serta pasaran pertukaran asing bagi menggalakkan kestabilan kewangan dan bagi perkara berkaitan, berbangkit atau bersampingan.

“Apa-apa juga pelaburan yang menawarkan pulangan lebih daripada 20 peratus adalah tidak realistik,” kata Muhammad, sambil menambah amanah saham adalah pengurus portfolio terbaik kerana ia menawarkan pulangan kira-kira enam hingga tujuh peratus.

Beliau menjelaskan akaun-akaun yang sangat meragukan akan ditutup dan wang dikembalikan kepada pemilik akaun.

“Dana-dana hanya akan disita atau dibekukan sekiranya diarahkan oleh mahkamah,” katanya.

BNM juga melaksanakan langkah-langkah diselaraskan yang termasuk Jabatan peguam Negara yang akan menerajui jawatankuasa antara agensi bagi penguatkuasaan bersama terhadap aktiviti kewangan haram.

SUMBER: BERNAMA