Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan pendidikan pelajar di Timur Tengah dinaikkan

OLEH NORHAYATI UMOR

MOROCCO, 2 MEI: Anak Selangor yang mengikuti pengajian di Timur Tengah diberikan bantuan sebanyak RM3,000 menerusi sumbangan pendidikan Peduli Siswa.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri itu menyampaikan sumbangan terbabit di Agdal, Rabat.

Katanya, bagi meringankan bebanan pelajar, Kerajaan Negeri menaikkan bantuan daripada RM2,500 kepada RM3,000 seorang untuk pelajar Selangor meneruskan pengajian di sana.

“Pelajar ini merupakan mangsa yang terkesan dengan tahap ekonomi yang parah ketika ini menyebabkan kos kehidupan di sini sangat tinggi.

“Mereka juga terbeban dengan pemotongan peruntukan pendidikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar itu.

Seramai 40 pelajar di negara itu menerima bantuan umum terbabit.

Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri komited memberikan perhatian serius dalam sektor pendidikan secara berterusan.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang maju dan berprestasi baik, keseimbangan teknologi, ekonomi dan pendidikan merupakan paksi kejayaan.

“Kita merasakan Selangor negeri yang maju, kita yakin bukan sahaja kejayaan diukur dalam bidang ekonomi dan teknologi sahaja tetapi ilmu Islam perlu disuburkan serta dipertahankan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan untuk menaikkan kadar bantuan secara ‘one off’ itu kepada jumlah yang munasabah.

“Saya kurang bersetuju jika bantuan ini dikekalkan kepada RM3,000 kerana peningkatan kos hidup yang tinggi.

“Jadi, saya akan meminta untuk ia disemak semula oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya dinaikan pada kadar munasabah,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM50,000 untuk menyewa bangunan di Rabat, sebagai pusat aktiviti bagi kegunaan pelajar Malaysia.

Antara pimpinan negeri yang turut serta dalam lawatan itu adalah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad; Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.
=EZY=