Categories
KENYATAAN MEDIA

Berakhirnya Sarawak sebagai ‘deposit tetap’ BN

OLEH HASANUDDIN MOHD YUNUS

Pada 6 Mei 2017 saya diundang untuk Majlis Makan Malam PAKATAN HARAPAN Negeri Sarawak Utara bertempat di Grand Ballroom Eastwood vally Golf & Country Club, Miri.

Suasana sangat meriah. Saya disambut oleh masyarakat Orang Ulu dengan penuh kemesraan.

Saya tidak pernah kekok dengan suasana di Sarawak. Layanan masyarakat Iban, kaum Dayak kepada saya dan keluarga, dalam siri-siri lawatan saya sebelum ini masih belum boleh saya lupakan.

Bill Kayong satu nama yang cukup besar dan sukar dilupakan. Saya bergegas ke Miri sebaik sahaja mendapat berita kematiannya.

Saya tidak menyangka dia seorang muslim, kerana itu bukan perkiraan saya ke Miri ketika itu. Yang penting ada satu tarikan, saya perlu memberi penghormatan terakhir buatnya.

Terlanjur dia seorang muslim, saya sempat memandikannya serta membaca talqin (ucapan) di kuburnya. Yang hadir mendengar talqin itu non muslim lebih ramai dari muslim. Mereka selesa mendengar talqin dan doa saya di tanah perkuburan Bill Kayong ketika itu.

Kembali ke Jamuan Makan Malam anjuran PH Sarawak Utara, kehadiran yang ramai pada malam itu dan ucapan-ucapan YB-YB dan Pimpinan tempatan sangat memberangsangkan.

Tarian adat Orang Ulu kaya dengan seni dan kehalusan.

Saya difahamkan beberapa keturunan dari suku Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh, Murut, Berawan dan Kelabit turut hadir pada malam itu.

Saudara Baru Bian dari Parti KEADILAN mengumumkan kali ini tiada pertindihan kerusi sesama anggota Parti PH di Sarawak. Kami telah mempelajari apa yang telah berlaku dalam PRN lepas.

DAP Sarawak juga dengan penuh ketegasannya akan memastikan fokus kemenengan buat PH menjadi keutamaan di Sarawak.

Pengerusi Parti AMANAH Negara Sarawak, Saudara Mohamad Fidzuan Bin Zaidi yakin dengan pemuafakatan kali ini, Sarawak mampu menghantar lebih ramai ke Parlimen MP Sarawakian yang berkualiti dan berperanan di sana nanti.

Bagi saya peranan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia tidak boleh dipandang kecil.

Mereka punya hak Pembangunan dan Pengagihan kekayaan, Hak Pendidikan dan Kesihatan yang lebih serious. Ini semua telah diabaikan atau dilakukan secara sambil lewa oleh BN selama ini.

Ini bukan salah Semenanjung, ini salah UMNO/BN. Selama ini berlaku kekeliruan yang disengajakan.

Tiba masanya seluruh masyarakat Sarawak bangkit dan Parti AMANAH Negara khususnya di Sarawak serta teman-teman dalam PAKATAN HARAPAN akan lakukan sesuatu untuk anda.

Anda perlu merdekakan diri dari UMNO/BN dan kekal sebagai warga Malaysia yang dapat mengecapi erti seorang warga negara.
* HASANUDDIN MOHD YUNUS adalah Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Selasa 13 Sya’ban 1438H
9 Mei 2017