Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR 13 MEI: Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan dengan paras halangan seterusnya pada 1,800 mata berikutan pemulihan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM).

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, eksport MSM dijangka meningkat dan ini akan menawarkan peluang baik untuk pelabur.

“Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang telah berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun pada Mac 2017 juga agak kukuh dan posisitf untuk sektor pembuatan.

“Ini akan menggalakkan pertumbuhan kukuh eksport dan pada masa sama membawa kenaikan harga komoditi dan penggunaan lebih baik,” katanya lapor BERNAMA.

Nazri Khan juga berkata, sambutan ulang tahun ke-71 Umno juga antara faktor terbesar yang mempengaruhi pelabur kerana ia mungkin mencetuskan pemikiran yang pilihan raya sudah dekat dan menjana minat ke atas saham berkaitan kerajaan seperti Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), DRB-Hicom Bhd dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Selain itu terdapat spekulasi yang lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China mungkin membawa masuk pelaburan besar daripada Dalian Wanda, konglomerat multinasional China dan pemaju hartanah swasta terbesar dunia ke Bandar Malaysia selepas kegagalan perjanjian antara TRX City Sdn Bhd dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC),” katanya.

Di pentas global, Nazri Khan berkata, prestasi Wall Street dijangka menggalakkan walaupun diselubungi ketidaktentuan ekoran pemecatan Pengarah Biro Siasaan Persekutuan AS, James Comey.

“Positif sentimen berikutan data pekerjaan AS yang mantap, keputusan pilihan raya Perancis baru-baru ini juga dijangka berterusan ke minggu depan,” kata Nazri Khan.

=EZY=