Categories
SELANGOR

Elak bersidang langkau masa berlebihan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan pada tempoh maksimum melebih jam 12.00 malam.

Baginda bertitah, persidangan terlalu lama mengundang kepada faktor ‘keletihan’ Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi membahaskan sesuatu usul.

“Tempoh masa yang cukup (adalah perlu) bagi memastikan suara rakyat didengari melalui setiap kerusi dan Ahli Dewan Negeri yang dipilih.

“Namun, Beta ingin menyarankan agar setiap Dewan dapat mengurangkan mesyuarat Dewan melangkaui selepas jam 12 tengah malam.

“Beta yakin bahawa kecergasan minda semua termasuklah urus setia Dewan dan para pelapor tidak berada di paras yang optimum pada waktu itu,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia, 2017.

Dilaporkan, persidangan paling lewat dijalankan di peringkat Parlimen Malaysia berakhir jam 5.05 pagi mengatasi rekod sebelumnya pada 3.12 pagi dan 4.25 pagi.

Sementara itu, Baginda turut bertitah agar ADN berbahas secara bertangungjawab melangkaui emosi masing-masing.

Titah Baginda, wakil kerajaan dan pembangkang perlu mematuhi segala peruntukan Peraturan Tetap Dewan tanpa berlakunya sebarang pergaduhan di dalam atau luar dewan negeri.

“Beta tidak mahu berlakunya kejadian Ahli-Ahli yang berhormat bercakaran di dalam Dewan dengan melemparkan bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa mengawal emosi mereka.

“Adab dan tatasusila di dalam berbahas ini amat penting bagi mengambarkan bahawa negara kita mempunyai pemimpin negara yang matang dan berperibadi tinggi,” titah Baginda.

=EZY=