Categories
SELANGOR

Central Spectrum bantu penduduk Orang Asal tingkat ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 23 MEI: Central Spectrum Sdn Bhd memainkan peranannya bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pulau Indah khususnya masyarakat Orang Asal di situ dengan menyediakan pelbagai bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas berkata, antara bantuan akan diberikan termasuklah rancangan menyediakan bantuan benih serai, limau nipis dan lain-lain untuk ditanam sebelum hasilnya dijual kepada pengilang menghasilkan produk minyak wangi, pharmaseutikal.

“Diharap Orang Asal di sini dapat berniaga membawa hasil laut, pertanian dan lain-lain untuk dijual di situ. Di sini nanti kita akan ada kilang minyak wangi dan kilang pharmaseutikal di mana mereka perlu daun-daun seperti serai, limau nipis yang digunakan untuk pembuatan krim, minyak wangi dan lain-lain.

Central Spektrum“Di sini nanti kita tubuhkan satu badan untuk memberi benih kepada orang kampung dan Orang Asal supaya dapat tanam dan kita pasti akan beli balik dan dengan ini orang di sini dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya.

Mahmud berkata demikian pada Central Spectrum Bersama Masyarakat Orang Asal Pulau Indah di Kampung Orang Asal Pulau Indah di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga menggesa masyarakat di situ mengambil peluang berniaga setiap kali penganjuran pelbagai program khususnya program bertaraf dunia.

“Tiap-tiap tahun Central Spectrum mengadakan acara berbasikal 180 kilometer. Pada awal tahun ini, 1,000 orang daripada 30 buah negara datang.

“Tetapi kalau tiada Orang Asal berniaga pada masa itu menjual barangan yang menonjolkan budaya, rugilah kita dan sebab itulah pada tahun depan perlumbaan akan dimulakan di sini, bukannya di pejabat saya,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini Central Spectrum juga giat membangunkan beberapa kawasan termasuk kawasan rekreasi yang bakal menarik kehadiran pengunjung luar.

=EZY=