Categories
NASIONAL

DBP pantau bahasa papan tanda niaga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 MEI: Dewan Bahasa dan Pustaka menguatkuasa langkah pemantauan penggunaan bahasa yang digunakan di papan tanda niaga seluruh negara bermula Jun ini.

Memetik laporan China Press, perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit, Hong Chee Meng sebagai jaminan pelarasan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat.

“DBP sebagai contoh akan menyusun Ah Chong Kedai Gunting kepada Kedai Gunting Ah Chong,” katanya.

Katanya, ia sebagai prosedur awal bagi proses pembaharuan lesen niaga dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar baru itu menetapkan peniaga akan dikenakan cas perkhidmatan semakan bahasa oleh agensi itu.

Jurucakap DBP mengesahkan caj semakan perkhidmatan itu tertakluk kepada dua kategori iaitu papan iklan besar pada kadar RM30 sementara papan tanda kecil dan kain rentang sebanyak RM10.

Bayaran dikenakan kepada perusahaan perniagaan baru serta kepada peniaga yang ingin memperbaharui lesen niaga sedia ada.

=EZY=