Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa KPM, DBP martabat bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu

SHAH ALAM, 17 FEB : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu.

Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu penting kerana bahasa Malaysia merupakan bahasa utama digunakan di negara ini.

“Apabila membicarakan bahasa Malaysia mereka anggap kita mengetepikan bahasa Inggeris, kita tidak boleh mengekalkan suasana sekarang yang mana kita tidak memberi tumpuan untuk mengangkat bahasa Malaysia.

“Ini adalah peranan KPM dan DBP untuk kembali mengangkat kedudukan bahasa Malaysia malahan perlu lebih lantang dan kuat mempertahankan hal ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil dan Peluncuran Buku di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Anwar ketika diminta mengulas berhubung penubuhan Kursi Siddiq Fadzil berkata perjuangan Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil mengkukuhkan lagi kedudukan bangsa Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.

“Apa yang ditekan Allahyarham Siddiq adalah kita berakal pada bumi Melayu tetapi tidak harus meremehkan pandangan kaum lain. Kita perlu memartabat Malaysia dalam konsep kewarganegaraan dan kefahaman Islam,” katanya.

Menyentuh mengenai idea Siddiq yang dianugerah Tokoh Maal Hijrah tahun 2018, Ahli Parlimen Port Dickson itu menganggap Allahyarham merupakan tokoh pemikir yang sentiasa memberikan idea baharu untuk orang Melayu.

“Walaupun seorang pro Melayu, Allahyarham seorang yang menghormati agama dan kaum lain. Semasa hayatnya, beliau juga menyeru orang Melayu supaya sentiasa maju ke hadapan

Kursi Siddiq Fadzil ditubuhkan di Unisel bagi memperingati ketokohan Allahyarham Siddiq yang berpengaruh dalam bidang akademik dan kebudayaan Melayu.

Allahyarham meninggal dunia pada 31 Ogos tahun lalu dan beliau sebelum ini pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Presiden PKPIM sekitar 1970-an, selain Presiden ABIM pada 1980-an serta Presiden WADAH pada 2005.

Bapa kepada tujuh anak itu juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Ahli Panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Categories
SENI

DBP akan terus pujuk Pak Samad

KUALA LUMPUR 28 JUL: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan berputus asa memujuk Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad untuk kembali ke agensi itu.

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom berkata walaupun sasterawan itu membuat kenyataan menolak pelawaan itu, namun DBP optimis ia boleh diselesaikan.

“Kita tahu seperti dilaporkan semalam, dia kata sudah terlambat, kita masih tidak putus asa, kita masih terus berhubung dengan beliau. Ini pun kita tunggu sahaja isyarat ke rumah beliau, jika ok, kita akan terus pergi (berbincang),” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra DBP Bersama Media di sini semalam.

Semalam dilaporkan Pak Samad menolak pelawaan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu membawanya kembali ke DBP.

 

Pak Samad menyifatkan hasrat itu sebagai sudah terlambat dan beliau sudah lama terpinggir dan tersingkir oleh kerajaan sejak dahulu.

Sementara itu, Dr Mohamed Hatta berkata semua SN adalah ikon DBP dan ikon negara dan rasa kasih-sayang agensi itu dengan semua SN termasuk A Samad Said tidak pernah putus.

“Dalam mana-mana hubungan kasih-sayang, tentu ada pasang-surut, kita hormati keputusan beliau, namun masih berharap dan pastinya di sinilah (DBP) tempat dia,” katanya.

Dr Maszlee sebelum ini berkata kerajaan akan kembali mempromosi karya-karya A Samad Said termasuk membawanya kembali ke DBP.

A Samad Said atau nama sebenanya Abdul Samad Muhammad Said menerima anugerah SN pada tahun 1985.

Antara karya terkenal beliau yang diterbitkan oleh DBP ialah Lantai T Pinkie yang pernah diadaptasi ke bentuk teater dan dipentaskan di Istana Budaya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

DBP pantau bahasa papan tanda niaga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 MEI: Dewan Bahasa dan Pustaka menguatkuasa langkah pemantauan penggunaan bahasa yang digunakan di papan tanda niaga seluruh negara bermula Jun ini.

Memetik laporan China Press, perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit, Hong Chee Meng sebagai jaminan pelarasan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat.

“DBP sebagai contoh akan menyusun Ah Chong Kedai Gunting kepada Kedai Gunting Ah Chong,” katanya.

Katanya, ia sebagai prosedur awal bagi proses pembaharuan lesen niaga dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar baru itu menetapkan peniaga akan dikenakan cas perkhidmatan semakan bahasa oleh agensi itu.

Jurucakap DBP mengesahkan caj semakan perkhidmatan itu tertakluk kepada dua kategori iaitu papan iklan besar pada kadar RM30 sementara papan tanda kecil dan kain rentang sebanyak RM10.

Bayaran dikenakan kepada perusahaan perniagaan baru serta kepada peniaga yang ingin memperbaharui lesen niaga sedia ada.

=EZY=