Categories
NASIONAL

Dedah rasuah, lebih 10 berdepan penjara, perasuah sebenar masih bebas

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 MEI: Lebih 10 pemimpin dan aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus cekal berjuang walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai pendakwaan di mahkamah.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendakwaan itu dikenakan selepas mereka didapati mendedahkan pelbagai skandal membabitkan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

“Ketegasan kita menuntut perubahan serta kelantangan menentang kezaliman menjadikan KEADILAN musuh nombor satu Umno-BN. Anwar, Rafizi, Tian Chua dan 10 lagi wakil rakyat serta ramai lagi aktivis didakwa dengan pelbagai undang-undang zalim.

“Kita adalah parti berteraskan perjuangan. Bukan Rafizi sahaja; Tian, Shamsul, Siva, Sim, Surendran, Lih Kang, Kar hing, Chean Chung, Ming Kai, Nik Nazmi, Suhaimi, Cikgu Faris, Amizudin, Yahya Saari dan ramai lagi aktivis parti dan aktivis reformasi kini menghadapi pelbagai dakwaan di bawah akta zalim seperti Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Jelasnya, kejayaan yang diraih pada 2008 dan 2013 adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan pelbagai pihak khususnya Anwar.

Bagaimanapun katanya, perasuah sebenar masih bebas dan tidak didakwa, malah dipertahankan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menyampaikan salam perjuangan daripada Ketua Umum yang kita rindui Saudara Anwar Ibrahim.

“Hari ini juga merupakan hari ke-832 beliau menjadi tahanan. Meskipun jasad beliau terpenjara namun roh dan semangat beliau kekal bersama kita terutama dalam menghadapi detik getir ke arah Pilihan Raya Umum ke 14,” katanya.

=EZY=