Categories
AGAMA SELANGOR

JAIS tahan 36 individu dipercayai ikut ajaran sesat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan lagi 36 individu termasuk 34 pengikut kumpulan ajaran Islam Jamaah dalam serbuan di kawasan perumahan Kampung Tok Muda, Klang, baru-baru ini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kassim berkata, ketika diserbuan kesemua yang ditahan sedang mengikuti kelas ajaran di premis terbabit.

Katanya, serbuan dibuat selepas bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS melakukan risikan kira-kira jam 10.30 malam.

“Kita menahan tuan rumah, seorang guru serta 34 pengikut ajaran kumpulan itu yang berusia antara 17 hingga 60 tahun.

“Kesemua yang ditahan, dirakamkan percakapan mereka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 119, enakmen pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pindaan 2015 & Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah negeri Selangor 1995,” katanya dalam kenyataan.

Haris berkata kesemua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas selesai diambil keterangan.

“Siasatan menunjukkan ajaran terbabit (Islam Jamaah) adalah antara tujuh ajaran yang difatwa menyeleweng dari ajaran Islam oleh Jabatan Mufti Selangor dan masih aktif di negeri ini.

“Orang Islam adalah dilarang sama sekali mengamalkan ajaran itu,” katanya.

Terdahulu, JAIS komited bertindak tegas melakukan serbuan ke atas individu atau kumpulan yang mengajar tanpa tauliah di seluruh Selangor.

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 11 individu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015, manakala lapan kes dibuka bagi kesalahan menyebabkan ceramah agama tanpa tauliah sejak Ops Tauliah 1/2017 dilaksanakan.

Katanya, sebanyak 32 fail kes dibuka mengikut Seksyen 12&13 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 2003 Pindaan 2015 kerana melanggar fatwa yang dikuatkuasakan.

“Dinasihatkan masyarakat di luar sana supaya lebih berhati-hati dalam memilih untuk mempelajari ilmu agama Islam ini.

“Pastikan guru yang mengajar memiliki tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

=EZY=