Categories
EKONOMI SELANGOR

Festira’17 teruskan tradisi bubur lambuk percuma dengan konsep berbeza

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) meneruskan tradisi pemberian bubur lambuk kampung baru secara percuma dalam Festival Ramadan Selangor 2017 (Festira’17), tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pemberian terbabit pada setiap Selasa dan Khamis adalah salah satu tarikan utama bagi festival itu yanag diadakan, sejak 2013.

“Pelbagai hadiah menarik turut disediakan melalui aktiviti pentas dan cabutan bertuah. Semua ciri tradisi festival seperti pemberian hadiah misteri, kaunter zakat dan wakaf serta penyediaan ruang solat selesa termasuk terawih masih diteruskan.
Festira’17 dijangka lebih mendapat sambutan dengan tiga pusat membeli-belah membawa konsep berbeza seperti di SACC Mall bertemakan Kampung Kita ‘Nostalgia Raya’, Kompleks PKNS Shah Alam (seni bina Islam dan Timur), manakala Kompleks PKNS Bangi (Arab Timur Tengah),” katanya.FESTIRA

Selain itu, beliau berkata, kewujudan #BazaarPaknil di tempat orang lokal (TOL), sekali gus menarik perhatian pengunjung luar Selangor untuk membeli-belah di Kompleks PKNS Shah Alam yang terkenal dengan pilihan juadah berbuka puasa dan persiapan Aidilfitri selain Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Katanya, festival kali ini menekankan unsur lebih islamik bersesuaian dengan Ramadan sebagai bulan beribadah yang menampilkan barisan selebriti terkemuka antaranya Inteam, Rabbani, Far East, Raihan, Lah Ahmad, UNIC, Nowseeheart, Saff-one dan Munif Ahmad.

“Pertandingan nasyid Starz anjuran Inteam Records turut menjadi salah satu aktiviti dengan lebih 50 peserta sudah menghantar video rakaman untuk merangkul hadiah wang tunai lebih RM4,000, pakej rakaman serta produk terbitan.

FESTIRA 3“Ceramah setiap minggu daripada ustaz selebriti seperti Ustaz Dasuki, Ustaz Faiz, Ustaz Zamri, Syed Abd Kadir dan yang lain akan ditampilkan di Festira’17 selain penulisan blogger terkenal, Yuyu Zulaikha melalui blognya, Kupu-Kupu Kecik,” katanya.

Fakru Radzi berkata, PREC terus kekal dengan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan dengan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia (KKM), acara Bakul Kasih Ramadan bersama Yayasan Ikhlas dan Kembara Ramadan di rumah anak yatim terpilih.

Katanya, acara ‘Muslimah Runway by MSU College’ bagi mengutip dana bakal menggegar SACC Mall pada 3 Jun ini dengan pembabitan butik tempatan dan 40 finalis pencarian model MSU College serta beberapa acara lain, sepanjang festival berkenaan.

Festira’17 dirasmikan Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, di SACC Mall, di sini, pada 18 Mei lalu.