Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

INVEST ikat MoU dengan Victoria Australia

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Invest Selangor Berhad (INVEST) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri Victoria (Victoria), Australia bagi mengikat kerjasama dalam bidang teknologi komunikasi dan informasi, makanan dan perniagaan agro serta pendidikan juga latihan.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, usahasama itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai hab industri teknologi tinggi bagi negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk industri e-dagang, aeroangkasa dan bioteknologi.

“Sebagai negeri termaju di Malaysia, Selangor perlu mengambil peluang ini dan menjadi ejen perubahan atau kita tidak akan mampu bersaing di arena ekonomi global.

INVEST (5)“Kita amat mengalu-alukan kedatangan rakan dari Victoria dan dengan kerjasama ini, kita mengambil selangkah lagi ke hadapan dan bersama mendukung teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada Majlis Menandatangani MoU di antara INVEST dan Kerajaan Negeri Victoria, di Istana Selangor, di sini, hari ini.

INVEST diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hassan Azhari Idris manakala Victoria diwakili Pesuruhjaya Asia Tenggara Victoria, Brett Stevens dengan disaksikan Chang Khim dan Pengarah Sektor Pembangunan Teknologi Victoria, Kathy Coultas.

Sementara itu, Kathy berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama itu dan berharap ia membuahkan manfaat kepada kedua negeri terutama dalam bidang teknologi.

“Saya percaya kami mempunyai banyak persamaan termasuk peluang dan cabaran, namun yakin ia mampu menghasilkan persefahaman dan kerjasama baik bagi mencapai objektif MoU,” katanya.

Ia MoU kedua ditandatangani INVEST dalam tempoh seminggu selepas yang pertama bersama Negeri Bebas Bavaria, Jerman, yang ditandatangani, di sana, baru-baru ini.

Chang Khim berkata, MoU pertama ditandatangani bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang automasi dan robotik, industri 4.0, ‘internet of things’ juga ‘big data’, aeroangkasa serta bioteknologi.

Disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, MoU berkenaan ditandatangani Hassan Azhari mewakili INVEST dan CEO Bayern International, Joachim Heussler.

Bayern International adalah agensi perkembangan pasaran dan promosi dagangan bagi Negeri Bebas Bavaria.