Categories
EKONOMI SELANGOR

INVEST sambut pelabur asing di Istana Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Invest Selangor Berhad (INVEST) melahirkan setinggi penghargaan dan junjungan kasih terhadap perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggunakan Istana Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata, baginda memberi perkenan untuk INVEST menyambut tetamu dan pelabur berpotensi Selangor di istana yang terletak, di ibu negara itu.

Katanya, ia julung kali sesebuah anak syarikat menerima perkenan menganjurkan majlis di lokasi berkenaan tanpa kehadiran baginda.

INVEST (2)“INVEST berasa sangat terharu dan menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Tuanku Sultan Selangor.

“Ini majlis pertama, meraikan pelabur dari Australia dan kita yakin akan ada lagi sambutan untuk pelabur asing lain pada masa akan datang, di sini.

“Untuk hari ini, kita terima maklum balas sangat baik daripada tetamu yang kebanyakannya menyifatkan pengalaman di sini sebagai menarik dan penuh keterujaan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau mewakili INVEST menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Victoria dengan disaksikan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim.

Selain Istana Selangor, baginda turut memiliki istana lain di luar Selangor termasuk Istana Darul Ehsan, di Putrajaya.