Categories
SUKANKINI

Fuad belum lega, mahu pelumba tingkat prestasi

SHAH ALAM, 1 MEI: Pengurus PETRONAS Sprinta Yamaha – Afb Tech, Ahmad Fuad Baharudin tidak mahu pelumbanya berasa selesa meskipun mempamer aksi cemerlang dan berjaya menaiki podium sepanjang dua pusingan awal Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2017.

Menuju ke pusingan ketiga di Kemaman, Terengganu pada 5 dan 6 Mei ini, tiga pelumba pasukan, Md Aiman Tahirudin, Md Danial Syahmi dan Md Khairi Asyraf Mahmud masing-masing berjaya menaiki podium dan menghuni kelompok empat pelumba teratas dalam senarai keseluruhan dalam kategori Wira.

Selepas dua pusingan, Md Aiman yang muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan di Temerloh, Pahang dan muncul juara di Tangkak, Johor, Mac lepas kini mendahului senarai keseluruhan dengan 41 mata’.

PETRONAS AAM (2)Manakala Danial yang meraih satu gelaran naib juara mengumpul 31 mata berada di tangga ketiga dan Khairi di kedudukan keempat dengan 28 mata.

Kedudukan kedua milik Saiful Azhari Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) dengan 33 mata.

Bagi juara tiga kali kelas perdana Kejuaraan Cub Prix itu, dia belum boleh menarik nafas lega dengan keputusan tersebut sebaliknya terus fokus kepada tugas menggilap potensi dan kemahiran pelumba muda pasukan berbanding memikirkan tentang sebarang gelaran.

“Saya memang sukakan tugas melatih pelumba muda, mereka ini ‘masih segar’ dan senang menerima tunjuk ajar.

PETRONAS AAM (1)“Walaupun berjaya memenangi perlumbaan atau menaiki podium, masih banyak perkara mereka perlu pelajari. Saya lebih mengutamakan peningkatan prestasi mereka secara berperingkat,” jelas pelumba berpengalaman negara itu.

Tambahnya, untuk menjadi juara bukan hanya kelajuan sebaliknya pelumba perlu memiliki pakej stamina, strategi dan komunikasi.

“Mereka berlumba ikut kemampuan dan jika gagal, mereka perlu mengkaji setiap kelemahan dan perlu diperbaiki untuk menghadapi perlumbaan akan datang,”katanya.