OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 1 MEI: Dalam usaha mencegah aktiviti tidak sihat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) merangka beberapa aktiviti amal membabitkan belia menerusi program Jom Konvoi, Kembara Amal MPSJ 2017 ke Pahang sejak 27 April lalu.
Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Hisham Ahmad Dahlan berkata, program kali ke 9 itu bertujuan memberi pendedahan melalui penerapan nilai murni, meningkatkan jati diri dan menggalakkan belia ke arah aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Peserta diberi peluang menjelajah ke pelusuk negara , meneroka keindahan alam disamping menjalankan aktiviti sukarela seperti gotong-royong dan kemasyarakatan.
“Mereka juga diberi pelbagai ilmu pengetahui seperti pemuliharaan alam sekitar melalui modul belia cinta alam sekitar,” katanya ketika Majlis Penutup Jom Konvoi, di The Summit, Subang Jaya.
Majlis turut dihadiri Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.
Hisham berkata, peserta juga menerima beberapa pendedahan antara pencegahan jenayah dengan mengadakan lawatan ke Kompleks Penjara Penor, Belia Madani (Pengurusan Jenazah) dan Belia Pembela Bangsa iaitu lawatan ke Galeri Mat Kilau.
Difahamkan, Lebih 100 peserta dengan motosikal 150cc ke bawah menyertai konvoi membabitkan perjalanan sejauh 769 kilometer menjelajah ke Pahang.
Program Jom Konvoi merupakan acara tahunan anjuran MPSJ dengan kerjasama dari pelbagai agensi antaranta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Selangor Youth Community (SAY), PENDAM dan Sektor Korporat.