Categories
SELANGOR

Giat promosi produk pelancongan makanan tempatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 MEI: Tourism Selangor giat menjalinkan jaringan kerjasama dengan hotel-hotel utama bagi mempromosikan produk pelancongan makanan negeri, kata Penolong Pengurus Komunikasi Korporatnya, Zaimi Shari.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Discover Selangor 2017 Ramadan Buffet Campaign bermula awal Ramadan lalu.

Katanya, pelaksanaan program itu juga dijalankan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ‘mencuba’ sajian makanan tempatan.

“Usahasama ini dibuat menerusi penglibatan beberapa hotel utama di Selangor yang akan menawarkan pelbagai jenis juadah buffet tempatan kepada pelanggan mereka sepanjang Ramadan.

“Justeru Tourism Selangor memberi saranan kepada pelancong tempatan atau antarabangsa untuk berkunjung ke mana-mana hotel yang menawarkan pelbagai juadah dengan konsep tertentu mengikut citarasa mereka.

“Ini sekaligus dapat mempromosikan hotel ini kepada pengunjung antarabangsa yang melancong di Selangor sama ada di bandar atau pinggir bandar,” katanya kepada SelangorKini.

Antara hotel terlibat Grand Dorsett Subang, Hotel Aliya Klang, Holiday Inn Glenmarie Kuala Lumpur dan Acappella Suite Hotel, Shah Alam.

Difahamkan, ini bukan pertama kalinya rangka kerjasama itu dijalankan sepanjang Ramadan sejak tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus Restoran Terazza Brasserie Dorsett Grand Subang, Azlan Ahmat berkata, kerjasama itu turut membantu pengurusan operasi hotel untuk lebih tampil mempromosikan produk makanan negeri.

“Ia bukan sahaja bersifat publisiti semata-mata, tetapi menjadi nilai tambah kepada hotel-hotel seluruh negeri untuk tampil menyediakan pelbagai keunikan masakan tempatan kepada pelancong antarabangsa khususnya,” katanya.

=EZY=