Categories
NASIONAL

Indonesia jamin tiada jerebu tahun ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 MEI: Indonesia sudah mengeluarkan jaminan bahawa masalah jerebu rentas sempadan tidak akan berlaku tahun ini, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata, beliau juga optimis dengan jaminan terbabit berdasarkan pengalaman menghadapi jerebu negara jiran berkenaan, tahun lalu.

Katanya, kejadian jerebu berlaku pada tahap yang amat minimum pada 2016 jika dibandingkan dengan kejadian jerebu, pada tahun sebelumnya.

SHah Alam jerebu“Ia hasil daripada usaha yang digerakkan secara bersama antara Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand.

“Berlandaskan pengalaman mereka pada tahun itu, Indonesia beri jaminan kepada kita bahawa tiada jerebu untuk tahun ini.

“Saya terima jaminan itu selepas banyak pendekatan dan usahasama dibuat bagi menangani kejadian jerebu rentas sempadan,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu Sub-rantau Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, semalam.

Wan Junaidi berkata, Pusat Meterologi ASEAN (ASMC) juga meramalkan cuaca kering bermula Jun hingga Oktober ini akan terus dipantau.

“Pemantauan itu bagi mengelak sebarang kebakaran daripada berlaku terutamanya di kawasan titik panas.

“Malaysia sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Indonesia memerlukan bantuan kecemasan bagi mengelak jerebu berulang,” katanya.