Categories
NASIONAL

Isu taboo jangan sorok bawah karpet

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MEI: Institut Darul Ehsan (IDE) terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu mengadakan program diskusi secara ilmiah walaupun membabitkan beberapa isu taboo sensitif termasuk wanita.

Pengurus Kanan (Penyelidikan) IDE, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, program itu boleh diadakan sama ada secara terbuka mahupun tertutup disertai pakar isu terlibat.

“Kesimpulan daripada pembentangan tadi, kita harus memberi ruang untuk diketengahkan kepada masyarakat membincangkan sesuatu isu walaupun sensitif tetapi boleh dibincang sama ada dalam bentuk tertutup oleh sekumpulan pakar. Jangan isu tertentu disorok di bawah karpet.

“Walaupun ia isu taboo tetapi boleh dibincangkan dan jiks perkara itu perlu dibetulkan, ulama boleh tampil memberi penerangan sewajarnya,” katanya SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada program Siri Diskusi Semasa IDE bertajuk Perbincangan dan Laporan Kongres Ulama Perempuan Jakarta, Indonesia, di sini, hari ini.

IDE 1Ketika menyentuh diskusi yang diadakan hari ini, Khairul Ariffin berkata, diskusi itu diadakan atas permintaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menghantar delegasi melihat kongres berlangsung selama lima hari itu.

Bagaimanapun, beberapa pihak di negara ini menganggap kongres itu sebagai isu taboo sementara beberapa media pula melabelkan badan bukan kerajaan terlibat sebagai liberal.

Katanya, keadaan membabitkan isu dianggap taboo itu sebagai penghalang untuk masyarakat membincangkannya, sekali gus menyebabkan ia ditutup tanpa penjelasan sewajarnya.

“Dalam erti kata lain kita memberi ruang penuh dalam apa-apa isu termasuk memberdayakan wanita. Di Selangor, wanita memang aktif memberi pandangan dan membangkitkan isu membabitkan hak, demokrasi dan lain-lain,” katanya.