Categories
KENYATAAN MEDIA

Jadilah guru hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu

Bismillahirrahmannirrahim,

16 Mei setiap tahun merupakan tarikh sinonim dengan Sambutan Hari Guru yang diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf khidmat dan jasa bakti para pendidik dari dahulu sehingga kini yang merupakan tulang belakang dan penggerak modal insan di dalam pembinaan sesebuah negara sejahtera.

Sambutan Hari Guru sewajarnya disambut dengan penuh kesedaran dan keinsafan bagi mengenang pengorbanan dan keluhuran akal budi para guru.

Masyarakat yang berilmu meletakkan guru atau pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik insan bagi melahirkan generasi muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan amanah tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan insan lain. Islam sangat menitikberatkan berkenaan dengan pencarian ilmu. Justeru itu, kedudukan seorang guru amat tinggi di sisi Islam.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Mujaadalah ayat 11 yang bermaksud :

“Supaya Allah Ta’ala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

Rasulullah SAW adalah merupakan contoh guru yang terbaik, tidak ada yang boleh menandingi sikap sabar, lemah lembut, ketabahan dan kehebatan Baginda SAW ketika berhadapan dengan berbagai-bagai permasalahan di atas muka bumi ini khususnya yang melibatkan umat manusia.

Rasulullah SAW menyampaikan amanah SWT dengan penuh jujur, sabar, tabah, cekal dan kuat walau dicaci, dilempar dengan batu sehingga berdarah, dilabel sebagai orang gila dan pemutus tali persaudaraan serta selainnya, Rasulullah SAW tetap tidak berganjak atas usaha pengajaran dakwah Baginda untuk melihat umatnya mentaati perintah Allah SWT.

Oleh itu, peribadi Rasulullah SAW sebagai seorang tenaga pengajar dan pendidik yang telah berjaya mendidik masyarakat jahiliyyah Arab kepada seorang yang taat patuh kepada Allah SWT perlu menjadi motivasi kepada para-para guru.

Guru bukan sahaja perlu menjadi seorang pendidik, pembimbing dan penasihat, mereka juga perlu menjadi sahabat yang boleh dipercayai dan disenangi oleh pelajar-pelajar mereka.

Para guru kini bukan sahaja hanya menjadi seorang MUDARRIS iaitu guru yang hanya mengajar mata pelajaran mereka sahaja tetapi perlulah menjadi seorang MU’ALLIM iaitu guru yang tidak hanya mengajar matapelajaran mereka bahkan ilmu-ilmu yang lain juga.

Seterusnya menjadi seorang MURSYID iaitu guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar kepadan anak didikan merekan dan akhirnya perlu menjadi seorang MURABBI iaitu seorang guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Tugas mengajar dan mendidik berkait rapat dengan peranan dan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak dan para remaja yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kerenah.

Di pundak bahu para gurulah terpikul beban bagi menghindari anak muda daripada terjebak kepada penyakit sosial yang melanda remaja Islam hari ini. Masa ternilai anak-anak bersama guru melebihi bersama ibubapa. Guru menjadi idola dan rujukan anak-anak.

Maka bicara dan penampilan seorang guru bukan hanya gambaran di sekolah tetapi juga selepas waktu sekolah. Secara langsung atau tidak sebenarnya guru sedang membina masyarakat.

Oleh itu para guru perlulah mendidik diri sendiri sebelum mendidik orang lain ke arah ketaqwaan kepada Allah SWT. Peganglah prinsip boleh ditarbiah dan mampu mentarbiah orang lain.

Berusahalah menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu dan berketerampilan yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Para pendidik juga perlu bersatu membina masyarakat yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan tanpa mengira bangsa, budaya dan keturunan.

Seterusnya martabatkanlah profesyen perguruan sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.

Selain itu, para guru perlulah sentiasa memaklumi bahawa profesyen mereka ini adalah kesinambungan daripada tugasan para nabi iaitu mendidik umat kepada kebaikan dan keredhaan Allah SWT.

Maka laksanakanlah tugas yang mulia ini dengan penuh ikhlas dan seamanah mungkin sesuai dengan kemulian yang diberikan oleh Islam.

Bukan melaksana tanggungjawab tersebut sekadar untuk mendapatkan gaji semata-mata. Al-Mawardi di dalam Kitab Adab Ad-Dunia wa Ad-Din (m/s:99) menyebut :

“Antara adab-adab mereka (guru) adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian (daripada orang) dan mengharapkan rezeki daripadanya.”

Akhirnya, saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua para Guru Warga Pendidik di seluruh negara dan negeri Selangor khususnya yang boleh diibaratkan seumpama cermin yang sentiasa digilap yang mampu dilihat keindahannya serta memberi arca potensi diri anak murid dan bukannya cermin kusam yang tidak berfaedah.

Jadilah seorang guru yang dengan hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, tingkahlakunya ditiru. Selamat Hari Guru!

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

 

Y.B. DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan,
Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi
18 Syaaban 1438H bersamaan 15 Mei 2017M