Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: Guru ada hak kritik kerajaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 MEI: Golongan guru memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, maka mereka berhak meluahkan pandangan terhadap pentadbiran sesebuah kerajaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia termasuk hak mengkritik kerajaan yang dilihat meminggirkan kepentingan rakyat.

Katanya, ia sesuai dengan sifat guru yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan berkeperibadian terpuji serta berupaya menjadi teladan.

“Apatah lagi, Malaysia pada hari ini terpalit dengan pelbagai budaya seperti rasuah, salahguna kuasa dan pemotongan belanjawan pendidikan.

guru“Bukankah bermula 1 Ogos 2010, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

“Langkah ini seiring dengan hakikat bahawa guru memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Guru, hari ini.

Nik Nazmi berkata, guru akan terus komited melaksanakan amanah sekalipun bertindak mengkritik kerajaan.

“Saya percaya guru yang terlibat dalam politik tetap mengutamakan tugas dan fokus mereka iaitu mendidik.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru,” katanya.

Pada Belanjawan 2017 lalu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM6.12 bilion bagi 20 universiti awam berbanding RM7.57 bilion tahun sebelumnya, iaitu potongan sebanyak 19 peratus.

Antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia hanya diperuntuk RM352.7 juta daripada RM512.33 juta tahun sebelumnya, iaitu potongan sebanyak 31 peratus.

Universiti Teknologi Mara pula dipotong sebanyak 25 peratus, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.