Categories
PENDIDIKAN

JAIS tiada kuasa terhadap guru tahfiz swasta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa mengenakan hukuman atau tindakan tatatertib terhadap guru agama sekolah atau pusat tahfiz swasta di negeri itu yang melakukan kesalahan termasuk jenayah.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, hal itu kerana bidang kuasa JAIS hanya tertakluk kepada pendaftaran serta perkara berkaitan proses awal pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau pusat tahfiz berkenaan.

“JAIS tidak mempunyai kuasa terhadap guru tahfiz swasta. Biasanya, jika terdapat sebarang kes, kita hanya dapatkan laporan daripada sekolah berkenaan.

“Hukuman terpulang pada pihak sekolah atau tahfiz untuk tindakan. Ia bergantung pada kesalahan, jika jenayah ia dibidang kuasa polis dan jika bukan ia akan diselesaikan di peringkat tahfiz itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden seorang pelajar tahfiz swasta yang mendakwa dipukul warden asrama dua minggu lalu.

Pada masa sama, Haris berkata sekiranya guru lantikan JAIS memnbuat perkara salah, mereka akan dikenakan tindakan selepas perbincangan dan soal siasat dilaksanakan.

=EZY=