Categories
NASIONAL

Jangan biar ‘jerung besar’ 1MDB terus bebas

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan dan pendakwaan dalam usaha menurunkan indeks rasuah negara sangat dialu-alukan, malah diharapkan akan berterusan sepanjang masa.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau dan pimpinan PAKATAN mengharapkan lebih ramai ‘jerung besar’ terbabit dengan rasuah dibawa ke muka pengadilan serta tidak mengheret ‘ikan bilis’ semata-mata.

“Kita menyokong dan mengalu-alukan usaha SPRM tetapi harus diingat satu ‘jerung besar’ yang terlibat dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih bebas dan segala pendakwaan nampaknya dibatalkan.

“Harus diingat apabila orang atasan mengamalkan rasuah, tidak menjadi pelik jika kakitangan bawahan juga melakukan perkara sama,” katanya.

Katanya, budaya rasuah dilihat sebagai kebiasaan di negara ini terutama apabila berlaku sesuatu kesalahan dan ia harus dibenteras selain memberi pendidikan awal kepada pelajar di sekolah berkenaan kesannya kepada negara.

Charles-Santiago-LPada masa sama, Charles berkata, individu terlibat rasuah biasanya mengamalkan cara hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.

“Sebagai contoh, mereka mempunyai keinginan memiliki kereta mewah. Jika ingin membelinya, sudah tentu harganya mahal dan tidak mampu dengan gaji sedia ada, maka rasuah menjadi jalan penyelesaian.

“Itu tidak masuk kos penyelenggaraan kereta berkenaan selain pelbagai barangan peribadi seperti jam tangan atau beg tangan,” katanya.