Categories
SELANGOR

YIDE perkenal Kupon Infaq bantu kumpulan memerlukan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Buat julung kali Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Kupon Infaq dalam usaha mencari dana tambahan khusus membantu masyarakat memerlukan di Selangor.

Pegawai Perhubungan Korporat YIDE, Muhammad Hafiz Haji Bahari berkata, pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan Kupon Infaq YIDE bernilai RM2 yang akan diedarkan bersama Kupon Zakat Fitrah kelak.

Katanya, infaq atau sumbangan yang dikeluarkan melalui kupon itu adalah inisiatif membantu dalam tiga aspek utama membabitkan hal ehwal malapetaka/musibah, perkhidmatan rawatan hemodialisis dan program anak yatim.

YIDE - Hafiz“Tiga skop utama ini bersesuaian dengan prinsip penubuhan YIDE adalah sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu dan meringankan setiap beban individu yang memerlukan di negeri ini.

“Kupon infaq ini akan diedarkan kepada semua Ketua Amil dan Penolong Ketua Amil di Daerah Petaling dahulu buat masa ini sebagai ‘Pilot Projek’ dan akan diedarkan ke seluruh daerah kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat garis panduan pelaksanaan Kupon Infaq kepada 637 peserta terdiri daripada Ketua Amil Fitrah dan Penolong Amil Fitrah Daerah Petaling di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hafiz berkata, kupon infaq adalah salah satu alternatif kepada orang ramai menyalurkan sumbangan kepada individu yang memerlukan menerusi saluran yang betul.

“Banyak individu meminta sumbangan dengan menggunakan cara yang salah, seperti memaksa anak-anak kecil meraih simpati dan pemberi sedekah pula tidak mengetahui aliran wang didermakan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan sumbangan kepada saluran betul kepada orang yang memerlukan. Dapatkan keratan kupon infaq YIDE setelah melaksanakan infaq kepada Amil-Amil Zakat dilantik,” katanya.