Categories
SELANGOR

Jelajah Kasih Ramadan MPSJ bantu golongan memerlukan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 26 MEI : Keberkatan Ramadan turut membuka peluang kepada masyarakat awam untuk terlibat sama menerapkan nilai kebajikan kepada golongan kurang bernasib baik.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil dengan inisiatif Jelajah Kasih Ramadan bersama komuniti setempat menghulurkan bantuan sumbangan kepada mereka memerlukan.

Pemangku Yang Dipertuanya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pelaksanaan program itu sebagai komitmen menerapkan nilai kemasyarakat dalam komuniti perbandarannya.

“Jelajah ini turut mendapat kerjasama Masjid Al-Falah Subang Jaya dengan kolaboratif bersama Modenan dan Aeon Big (M) dilaksanakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menyambut ketibaan Ramadan.

“Objektif program ini tentunya bagi menerap nilai kemasyarakatan dan melahirkan insan yang bersifat penyayang, prihatin dan mempunyai nilai ‘ekitaan.’

“Selain itu ianya bagi memastikan golongan ini tidak tersisih serta dapat berkongsi sedikit sumbangan yang dihulurkan MPSJ dan badan-badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MPSJ Bilangan 05/2017 di Bilik Kenangan MPSJ, di sini.

Program diadakan di Masjid Al-Falah USJ Subang Jaya bermula 10 pagi 17 Jun dan berakhir 5 pagi 18 Jun.

Sementara itu, antara pengisian program itu termasuklah penyerahan barangan asas, masakan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.