Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jom Shopping terus popular

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 29 MEI: Jom Shopping terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat Selangor sebagai antara program popular Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri berpuas hati dengan pendekatan penyaluran bantuan membeli belah bernilai RM100 yang diberikan secara terus kepada rakyat.

“Buat masa ini kita menganggap program ini popular dan masih relevan dalam meringankan beban mereka.

“Kita akan meneruskan program ini dengan cara memberikan terus bantuan kepada rakyat khususnya menjelang perayaan utama setiap bangsa di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pasaraya Econsave di Klang Parade sempena program Jom Shopping peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang.

Seramai 500 peserta layak mendapat baucar membeli belah itu yang terdiri daripada penduduk Kampung Rantau Panjang, Kampung Sungai Pinang dan Kampung Batu Tiga.

unknownKetika mengulas cadangan pertambahan baucar dari RM100 kepada RM200, Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri perlu melihat kedudukan kewangan sebelum melakukan perubahan terhadap sesebuah program.

Katanya, Kerajaan Negeri bukan hanya sekadar menjaga rakyat menerusi program kebajikan, sebaliknya pelbagai IPR sudah dilaksanakan secara berterusan.

“Ini bukan program kebajikan tunggal kerana sepanjang tahun mereka dibantu. Sudah cukup banyak program di Selangor yang saya kira hampir lengkap dengan terbaru Skim Peduli Sihat.

“Lebih baik kita menggunakan kewangan dengan lebih bijak menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan pendidikan,” katanya.