Categories
SELANGOR

“Kalau kurang duit nak belajar, datanglah ke Central Spectrum”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 23 MEI: Bagi memastikan masa depan keluarga Orang Asal di Pulau Indah terbela, Central Spectrum Sdn Bhd sedia membiayai pelajaran anak-anak Orang Asal di kawasan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Central Spectrum Sdn Bhd, Mahmud Abbas berkata, hal ini berikutan pelajaran sangat penting untuk mengubah kehidupan masyarakat di perkampungan terbabit.

“Walaupun kita boleh bermain, mandi di sungai, berlari atau berbasikal namun akhirnya jangan lupa pelajaran yang menaikkan taraf hidup keluarga Orang Asal di sini.

“Oleh itu kalau ada anak-anak di sini yang cerdik pandai tetapi tak ada duit, saya faham kadang kala anak-anak kita cerdik pandai tetapi kurang duitnya, datanglah ke Central Spectrum, kami sedia membantu dengan biasiswa,” katanya.

Mahmud berkata demikian pada Program Central Centrum Bersama Masyarakat Orang Asal Pulau Indah di Kampung Orang Asal Pulau Indah di sini, hari ini.

Jelasnya, selain pelajaran, Central Spectrum juga bersedia membiayai golongan Orang Asal yang berminat menceburi bidang sukan.

“Kalau ada yang pandai bersukan terutama yang minat berbasikal, kita bantu dengan belikan basikal baru supaya boleh jadi juara dalam acara sukan,” katanya.

=EZY=