Categories
SELANGOR

Kamarul Zaman, baca sajalah Harry Potter – Bee Yin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 18 MEI : Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusuff disaran membaca nashkah ‘Harry Potter’ yang secara jelas bersifat mitos dan tahyul, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, ia sebagai cubaan menguji kepercayaan dan fahaman Kamarul Zaman sekiranya ahli akademik itu benar-benar ‘teruji’ dengan nashkah mitos itu atau sebaliknya.

“Kalau kamu baca Harry Potter pun kamu boleh terpengaruh, itu mungkin boleh jadi ada sesuatu tentang kamu,” katanya kepada SelangorKini sebagai mengulas dakwaan Kamarul Zaman terhadap penghasilan nashkah ‘Becoming Hannah’ oleh Speaker Dewan Negeri (DNS), Hannah Yeoh.

yeo-bee-yin-kidexKamarul Zaman sebelum ini mendakwa, kononnya buku biografi Hannah Yeoh prejudis bertujuan menghasut masyarakat bukan Kristian terhadap agama itu dan parti politik, DAP.

Menyelar kenyataan itu, Bee Yin mempersoal kredibiliti Kamarul Zaman sebagai ahli akademik yang sepatutnya berfikiran matang memahami konsep penulisan buku berkenaan.

“Sangat pelik, bagaimana seorang pensyarah boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sangat tidak masuk akal apabila individu yang ingin menulis dalam bukunya tentang dirinya sendiri dipersoalkan dengan cara itu.

“Sedangkan dalam Perlembagaan sendiri membenarkan individu Malaysia mengamalkan kebebasan beragama dan mempraktikkannya,” katanya kepada SelangorKini.

Becoming HannahBagaimanapun, Bee Yin percaya, kenyataan Kamarul Zaman hanya bersifat provokasi untuk menakut-nakutkan masyarakat Melayu terhadap pimpinan Pakatan dari DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) depan.

“Saya sudah membaca buku itu dan saya dapati tiada langsung agenda DAP atau bersifat keagamaan kerana pengisiannya lebih kepada politikal dan perjuangan Hannah Yeo sebagai ahli politik.

“Justeru apa yang dimainkan ini jelas bersifat agenda politik Umno Barisan Nasional.

“Mereka mahu menggunakan agama untuk takutkan pengundi dan mendapatkan kemenangan dengan cara tidak betul,” katanya.