Categories
NASIONAL

Kematian penyakit tak berjangkit 73% tapi Putrajaya terus berslogan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 MEI: Pentadbiran di Putrajaya hanya ghairah dengan slogan kesihatan sedangkan mutu dan kualiti kesihatan rakyat semakin berisiko.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Health and Morbidity Survey oleh Kementerian Kesihatan, melaporkan sebanyak 73 peratus kematian rakyat berpunca daripada bahana penyakit tidak berjangkit atau Non Communicable Diseases (NCDs).

“Pastinya, rakyat Malaysia dan negara memerlukan hala tuju yang baru. Justeru, menjadi tanggungjawab anak muda dan wanita KEADILAN untuk melakar hala tuju baru Malaysia.

“Anak muda dan wanita merupakan tulang belakang yang akan melonjakkan negara ke tahap yang lebih maju dan progresif. Sekiranya anak muda dan wanita tumbang, negara akan kecundang,” kata Mohamed Azmin ketika merasmikan Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN 2017 di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Katanya, pengabaian tanggungjawab oleh Putrajaya terhadap masa depan pendidikan dan latihan vokasional menyebabkan anak muda terumbang ambing tanpa jaminan masa depan.

Katanya, ini adalah penindasan ekonomi terhadap anak muda apabila turut memberi kesan kepada golongan wanita dengan kebijakan ekonomi yang meneruskan tekanan terhadap pendapatan isi rumah yang semakin menguncup.

“Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) baru-baru ini turut melaporkan jumlah pengangguran di kalangan anak muda pada tahap amat membimbangkan,” katanya.

=EZY=