Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor perintis Industri 4.0, anjakan paradigma baru ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 MEI: Lawatan kerja Dato’ Menteri Besar Selangor ke Eropah baru-baru ini bakal memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi Selangor khususnya melibatkan golongan anak muda dan pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) di negeri itu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata hal ini berikutan perbincangan beliau dengan pelbagai pihak termasuk Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich yang amat meyakinkan.

“Saya baru pulang dari Bavaria, Jerman jam 7 petang tadi. Bavaria sebuah negeri yang tidak mempunyai sumber asli sama ada gas, petroleum atau bahan mineral lain tetapi muncul sebagai negeri berteknologi tinggi dan mencatatkan KDNK dua kali ganda Malaysia. Inilah nilai knowledge economy yang juga sedang dipelopori oleh Selangor.

“Selangor sedang rancak membangunkan hab industri aeroangkasa. Perbincangan saya dengan Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich amat meyakinkan.

“Melalui perkongsiaan strategik, anak muda akan diperkasakan dengan ketrampilan teknologi dan memberi anjakan kepada syarikat SME untuk memasuki supply chain industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN 2017 di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Jelasnya, Selangor akan terus mempelopori Industri 4.0 yang bakal menjadi paradigma baru dalam sektor ekonomi selaras dengan gagasan Selangor sebagai Smart State.

Katanya, ekonomi negara perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi yang berteraskan penguasaan teknologi tinggi bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020 dan negara berpendapatan tinggi.

Katanya lagi, inisiatif pendidikan merupakan tonggak utama kepada pembinaan Malaysia Baru di mana sistem pendidikan negara perlu dirombak untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

“Institusi pendidikan tinggi perlu berdaya saing setaraf dengan universiti terkemuka dunia agar graduan universiti yang berinovasi tidak hanya mencari pekerjaan tetapi juga mencipta pekerjaan,” katanya.

=EZY=