Categories
NASIONAL

Kemuka laporan ke Jabatan Pendakwaraya jika ada salah laku

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 15 MEI: Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendakwaraya jika didapati terdapat salah laku dalam kes kematian S Balamurugan.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam berkata, satu laporan lengkap akan dibuat EAIC bagi tujuan itu untuk kemudahan pihak berkaitan mengambil tindakan lanjut.

“Kita mengadakan prosiding pendengaran awam bagi mengenal pasti kes kematian tahanan, Balamurugan sama ada berlaku salah laku membabitkan anggota polis.

“Sekiranya didapati berlaku, kita akan membuat laporan dan mengemukakannya ke Jabatan Pendakwaraya,” katanya.

Bermula hari ini, EAIC mengadakan prosiding pendengaran awam berhubung kes kematian Balamurugan yang ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor, pada 7 Februari lalu.

Prosiding itu dipengerusikan Yaacob bersama beberapa pesuruhjaya dan dibantu pegawai kanan EAIC selaku pegawai pengendali siasatan selain menjemput keluarga si mati, polis, Majlis Peguam Malaysia, Suhakam Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkepentingan lain bagi tujuan siasatan.

Seramai 55 saksi dijangka dipanggil dalam prosiding pendengaran awam itu dari hari ini hingga 19 Mei, 5 hingga 9 Jun, 10 hingga 14 Julai dan 24 hingga 28 Julai ini.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa, orang ramai boleh melayari laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my atau laman sosialnya (facebook dan twitter) di eaicofficial.