Categories
GLOBAL

Kesatuan Eropah lega Macron menang Presiden Perancis

PARIS 9 MEI: Kesatuan Eropah (EU) menarik nafas lega dengan kemenangan Emmanuel Macron dalam pilihan raya Presiden Perancis selepas calon berhaluan sederhana itu berjaya menyingkirkan Marine Le Pen.

Kejayaan Macron,39, muncul sebagai Presiden termuda dalam sejarah Perancis apabila Marine Le Pen sebelum ini mengancam mahu membawa keluar negara ini daripada blok terbabit selepas Britain.

Macron mengungguli jumlah peratusan undi dengan 66 peratus berbanding Le Pen daripada Parti Barisan Nasional (FN) yang hanya meraih 34 peratus undi, jurang yang lebih besar berbanding 20 peratus mata seperti yang diramal badan pilihan raya Perancis.

Macron juga jadi presiden pertama bukan dari parti politik arus perdana Kemenangannya diraikan besar-besaran termasuk di kawasan tumpuan pelancong, Champs de Elyse.

Selepas memenangi pilihan raya Presiden, Macron bakal berdepan satu lagi cabaran untuk mendapatkan undi majoriti dalam pilihan raya Parlimen bulan depan.

Ia supaya pergerakan politik yang dinaunginya hampir setahun dan dijenamakan semula sebagai La Republique En Marche dapat melaksanakan program dirancang.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker dalam perbualan telefon memberitahu Macron bahawa beliau gembira dengan idea bakal Presiden terbabit untuk mempertahankan Eropah supaya menjadi kuat dan progresif yang akan melindungi rakyatnya.

=EZY=