Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kleptokrat bertopeng Melayu-Islam perlu ditentang, bukan ditatang

NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 MEI: Rakyat khususnya anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN diingatkan supaya berjuang bagi memastikan kleptokrat bertopengkan Melayu-Islam di negara ini diheret ke muka pengadilan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,berkata, kekayaan negara yang dirompak oleh kleptokrat mesti dikembalikan kepada rakyat.

“Kleptokrat mesti ditentang bukan ditatang. Kleptokrat akan diheret ke muka pengadilan. Jangan benarkan kleptokrat terlepas dari pelaksanaan hukum. Kekayaan negara yang dirompak kleptokrat mesti dikembalikan kepada rakyat.

“Kleptokrat bertopengkan Melayu dan Islam tetap kleptokrat. Topeng Melayu dan Islam tidak menghalalkan kebejatan kleptokrat,” kata Mohamed Azmin ketika merasmikan Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN 2017 di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Jelas Dato’ Menteri Besar itu, hasil mahsul negara dipunggah oleh sang penguasa walaupun dalam keadaan ekonomi negara suram dan nilai ringgit semakin merudum.

Mohamed Azmin turut mengingatkan perwakilan bahawa pengertian sebenar politik adalah usaha untuk mencapai urus tadbir cemerlang bagi membangunkan negara dan bangsa Malaysia dan bukannya semata-mata untuk memburu kekuasaan.

“Kita bukan lahir di istana. Kita lahir dari gerakan reformasi, satu gerakan yang tercetus dari gelombang kebangkitan rakyat. Kita membangun citra parti dan perjuangan rakyat,” katanya.

=EZY=