Categories
GLOBAL

Suruhanjaya Eropah denda Facebook RM529 juta

BRUSSELS, Belgium 20 MEI: Suruhanjaya Eropah (EC) mendenda Facebook €110 juta (RM529 juta) kerana memberikan maklumat mengelirukan semasa siasatan EC mengenai pembelian aplikasi mesej, WhatsApp oleh laman jaringan sosial berkenaan pada 2014.

Suruhanjaya itu berkata, Facebook menafikan bahawa akaun Facebook dan WhatsApp milik pengguna akan bersambung secara automatik walaupun syarikat itu sedar perkara tersebut boleh berlaku, lapor AGENSI.

EC memberitahu, denda itu dikenakan kerana Facebook memberikan maklumat tidak tepat dan mengelirukan tetapi hukuman itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap pengambilalihan WhatsApp.

“Keputusan itu memberi isyarat jelas kepada syarikat bahawa mereka perlu mematuhi semua peraturan penggabungan ditetapkan Kesatuan Eropah(EU) termasuk keperluan untuk membekalkan maklumat yang tepat,” kata Pesuruhjaya Dasar Persaingan EU, Margrethe Vestager.

Dalam reaksi terhadap keputusan EC, Facebook menyatakan bahawa pihaknya berniat baik semasa berinteraksi dengan suruhanjaya berkenaan.

“Kesilapan kami lakukan sewaktu pemfailan pada 2014 tidak disengajakan dan suruhanjaya EU berkenaan mengesahkan bahawa kesilapan ini tidak memberi kesan terhadap penggabungan tersebut,” kata seorang jurucakap Facebook.

Denda dikenakan oleh EC adalah yang pertama ke atas sebuah syarikat media sosial sejak undang-undang penggabungan diperkenalkan pada 2004.

Pada awal minggu ini, Suruhanjaya Kebebasan Maklumat Kebangsaan Perancis mengenakan denda €150,000 (RM722,000) terhadap Facebook kerana mencabuli Akta Perlindungan Data.

=EZY=