Categories
AGAMA SELANGOR

Lebih 6,000 guru dirai JAIS hargai peranan & sumbangan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Lebih 6,000 guru sekolah Agama Jabatan Agama Islam (JAIS) seluruh Selangor dirai bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan dalam mendidik anak bangsa serta memacu kemajuan negeri dalam Sambutan Hari Guru ke-46 JAIS.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ selari dengan peranan mereka sebagai insan yang membuka minda, membangun dan menggalakkan ilmu demi mencapai kejayaan anak-anak.

Katanya, tugas dan tanggungjawab dipikul guru menuntut komitmen tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global yang memerlukan perubahan dinamik dalam sistem pendidikan.

“Kita memberi penghargaan kepada guru yang memberi kesejahteraan dan kehidupan selesa yang kita nikmati kini hasil berkat kegigihan dalam bidang pendidikan.

Pengarah JAIS“Matlamat Falsafah Pendidikan JAIS untuk melahirkan insan seimbang dan holistik tidak tercapai tanpa peranan besar guru,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Guru ke-46 JAIS di Stadium Malawati Shah Alam.

Haris berkata, hasil didikan guru, ramai murid lulusan sekolah JAIS berjaya memasuki sekolah berasrama penuh dan universiti di dalam dan luar negara.

Selain itu, mereka juga menjulang nama JAIS di persada dunia pendidikan di Selangor dan peringkat kebangsaan dengan mencapai pelbagai kejayaan.

“Antaranya sejak 2005 hingga sekarang Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) berjaya mengekalkan pengiktirafan peringkat antarabangsa Management Quality System ISO 9001:2008 dengan melepasi audit dijalankan SIRIM setiap tahun.

“Selain itu dalam Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM), pasukan guru JAIS menggondol piala johan bagi dua tahun berturut sejak 2015,” katanya.

=EZY=