Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lima syarikat serah zakat RM15.8 juta

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat daripada lima syarikat berjumlah RM15.8 juta, hari ini.

IMG_5429Penyerahan zakat disampaikan dalam Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Negeri, di sini.

Antara lima syarikat itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof yang menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak syarikatnya sebanyak RM5 juta.

Manakala, syarikat PLUS Malaysia Berhad pula RM3.6 juta dan UMW Holdings yang diwakili Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunaikan zakat RM3.4 juta.

Sementara itu, Worldwide Holdings Berhad menyerahkan zakat perniagaan RM2.4 juta dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjumlah RM1.2 juta.

Difahamkan, semua syarikat itu menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan akhir 2016.

Pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 61 asnaf fakir, 229 asnaf miskin serta 120 mualaf dengan setiap seorang menerima sumbangan RM500.