Categories
SELANGOR

LKSA bertol, Jambatan Ketiga Klang percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Jambatan Ketiga Klang tidak mengenakan sebarang bayaran, walaupun kos RM225 juta itu boleh dicaj semula kepada pengguna.

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Rodziah Ismail berkata, jika 1,000 pengguna dicaj RM1 pergi dan balik setiap hari, Kerajaan Negeri mampu mendapatkan semula seluruh peruntukan dikeluarkan selepas tempoh 14 tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak berminat menggunapakai kaedah yang menekan rakyat itu.

“Bila berada di atas jambatan ini (Jambatan Ketiga Klang), saya teringat kepada Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) yang mengenakan tol kepada pengguna walaupun jaraknya lebih kurang sama sekitar 1.2 kilometer.

“Inilah yang mahu kita buktikan kepada rakyat, bahawa kerajaan sebenarnya boleh tawarkan perkara sebegini menerusi kos mudah dan tidak membebankan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyertai lawatan turun padang PAC ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, hari ini.

Semalam, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyempurnakan Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang.

Pembukaan berkenaan bagi memenuhi keperluan Road Safety Audit (RSA) Peringkat 4 untuk menilai keberkesanan ciri keselamatan diterapkan pada reka bentuk jambatan.