Categories
SELANGOR

LRT3: Rai kemudahan, namun jangan abai peniaga

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 29 MEI: Block C Pasar Besar Klang di Jalan Meru akan dipindahkan ke lokasi bersesuaian bagi memberi laluan kepada Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Indusri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini dalam perancangan untuk memastikan pasar berkenaan boleh meneruskan perniagaan seperti biasa.

Katanya, blok terbabit juga akan diambil alih Prasarana Malaysia Bhd.

“Peniaga dari blok C akan diminta berpindah keluar, namun masih di dalam perkarangan pasar besar itu juga,” katanya ketika ditemui di Karnival Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai, Taman Eng Ann, Klang, di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat dua stesen LRT yang akan dibina di sepanjang Jalan Meru iaitu berhampiran Pasar Besar Klang dan di hadapan Malaysian Business Council (MBC).

Teng Chang KimBagaimanapun, katanya, keputusan itu masih dalam perbincangan kerana terdapat bantahan daripada beberapa pemilik kedai di kawasan MBC.

“MRCB, Prasarana dan MPK sudah mengadakan mesyuarat pertama bersama pemilik kedai berkenaan yang dipengerusikan saya sendiri untuk berbincang berkenaan projek LRT di kawasan itu.

“Semua pihak terlibat diminta mengkaji semula projek itu dan pemilik kedai disarankan melantik jurutera bagi memberi nasihat.

“Kita juga akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum MPK membuat keputusan terakhir,” katanya