Categories
SELANGOR

Ramadan: Masjid Negeri sedia 2,000 bubur lambuk ‘gearbox’

SHAH ALAM, 29 MEI: Lebih 2,000 bubur lambuk diedarkan secara percuma setiap hari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) sepanjang Ramadan ini bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai.

Imam Besarnya, Muhammad Farhan Wijaya berkata, pertambahan itu dibuat berdasarkan permintaan terhadap bahan makanan itu sejak tahun lalu yang meningkat dengan sambutan membanggakan.

“Sebelum ini kita menyediakan 1,500 bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai tetapi ekoran permintaan semakin banyak, maka kita putus menambah bilangan bahan makanan itu, pada tahun ini.

“Program tahunan dijalankan lebih 10 tahun lalu itu nyata mendapat sambutan umat Islam sepanjang Ramadan dan bagi menjayakannya pengurusan masjid mendapat kerjasama baik penyumbang serta pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan MSSAAS melantik katerer khusus bagi tujuan penyediaan bubur lambuk itu dan ia akan dimulakan pada jam 10 pagi serta diedarkan selepas solat Asar, pada setiap hari.

Katanya, sekumpulan petugas termasuk 30 sukarelawan terbabit dalam tugasan harian itu dengan diketuai Zainur Rahman Abdullah selaku Ketua Chef di masjid berkenaan.

Sementara itu, Zainur Rahman berkata, bubur lambuk itu disediakan dengan bahan antaranya daging, udang kering, rempah, kentang, sayur-sayuran juga kacang tanah.

“Dengan jumlah bubur lambuk bertambah tahun ini, maka kita gunakan lebih bahan untuk penyediaannya.

“Istimewanya bubur lambuk ini mungkin disebabkan tulang ‘gearbox’ yang saya adunkan di dalamnya,” katanya.