Categories
SELANGOR

LZS bantu gelandangan mualaf, sedia penempatan baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menjejaki gelandangan mualaf selepas berita mengenainya tular di laman sosial, baru-baru ini.

LZS dalam kenyataannya berkata, Muhammad Hai Abdullah, 51 memeluk Islam sejak 2009, di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu kini dibantu menerusi bantuan kewangan Zakat negeri.

“Kami menjejaki tempat yang dikatakan beliau tinggal di bawah jambatan sejak dua tahun lalu (sebagaimana viral), hasil siasatan, Muhammad Hai tinggal di sebuah jejantas pejalan kaki di Puchong Jaya beralaskan kotak dan surat khabar lama.

“Kami terus mendaftarkan Muhammad Hai sebagai asnaf Fakir semasa di bawah seliaan Operasi Daerah Petaling.

LZS ASNAF MUALAF (1)“Kami berjaya mencarikan sebuah bilik untuk menempatkan beliau tinggal di situ,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Muhammad Hai tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap selepas berhijrah dari Perak ke Selangor dan mula bermastautin di negeri ini sejak dua tahun lalu.

“Bantuan disalurkan ialah bantuan sewa bilik bulanan yang akan dibayar terus kepada tuan rumah, bantuan kewangan bulanan dan juga bantuan sumbangan Ramadan dan sambutan perayaan,” kata kenyataan itu.