Categories
GLOBAL

Malu jalani ujian, hospital bekal topeng

BANGKOK, 18 MEI: Kempen kreatif ‘the mask pap smear’ anjuran hospital wilayah Kamphaeng Phet berjaya menarik lebih ramai wanita untuk hadir menjalani ujian pap smear.

Datuk Bandar organisasi pentadbiran Sakaeo Tambon, Suwan Supakitcharoen berkata, inisiatif pemberian topeng muka khas itu diambil bagi menarik mereka yang malu untuk hadir menjalankan ujian mengesan kanser serviks dan payudara.

Menurutnya, ini kerana bilangan wanita yang sanggup menjalani ujian pap smear untuk kedua jenis kanser itu setiap tahun amat rendah dengan 8 hingga 9 peratus wanita berusia 30 hingga 70 tahun malu mendedahkan bahagian sulit mereka kepada kakitangan perubatan.

“Bagi mengatasi masalah itu, Suwan berkata, kerajaan tempatan dan hospital Tambon Nong Klod, dengan sokongan kewangan dari Dana Insuran Kesihatan memperkenalkan topeng untuk diberi kepada wanita supaya kakitangan perubatan tidak melihat muka mereka dan ia dapat membuatkan wanita akan berasa lebih yakin,” katanya dipetik Thaipbs.

Dalam pada itu, seorang wanita terlibat dengan kempen itu, Wanpen Sapcharoen, 50 berkata dia berasa lebih yakin untuk mengambil ujian selepas memakai topeng.