Categories
SENI

Karya anak seni dari luar negara ditambah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 MEI: Galeri Shah Alam (GSA) akan menganjurkan lebih banyak pameran lukisan dan karya seni melalui hasil program kembara seni ke luar negara buat tatapan aktivis dan peminat seni, di Selangor.

Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Dato’ Zahabuddin Raja Yaacob berkata, ia ekoran kejayaan penganjuran pameran Lakar Sa Pa di galeri itu, mulai 27 April hingga 14 Julai ini yang menghimpunkan sembilan pelukis terkenal, di Malaysia.

Katanya, sembilan pelukis dipilih menyertai Kembara Seni Antara Bangsa Hanoi dan Sa Pa, 14 hingga 19 September tahun lalu dan setiap daripada mereka perlu menghasilkan karya baagi tujuan pameran berkenaan.

IMG_1128“Ia pertama kali diadakan, kita bawa pelukis ke luar negara bagi menghasilkan karya mereka dan bakal diteruskan selepas ini dengan mencari tempat menarik di negara lain pula.

“Perkara ini juga mendapat persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Pengerusi GSA yang meminta ia diteruskan bagi menaikkan taraf seni di Selangor,” katanya selepas majlis perasmian pameran Lakar Sa Pa di sini, semalam.

Pameran itu dirasmikan budayawan, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassinn yang menyifatkan pameran itu akan memberi peluang kepada aktivis dan peminat seni berkongsi idea selain menarik minat pelancong ke Selangor.

“Kerajaan Negeri dan GSA akan sentiasa memberi peluang kepada pihak berkaitan bagi mengadakan pameran dan aktiviti seperti ini bagi meningkatkan lagi taraf serta hasil karya seni di Selangor juga negara,” katanya.

Lakar Sa Pa adalah pameran yang menghimpunkan lukisan dan karya seni sembilan pelukis dari pelbagai genre hasil pengalaman mereka meneroka daerah pergunungan tinggi di utara Vietnam iaitu Sa Pa.

Mereka adalah Zaim Durulaman, Azman Md Nor, Abdullah Jones, Rohaizad Shaari, Abd Rasid Yusof, Zaharin Mohammad, Abdullah Hamdan, Khairuklsani Ismail dan Raja Zahabuddin sendiri.