Categories
SELANGOR

MB: Dalami petunjuk moral harungi cabaran semasa

OLEH NORHAYATI UMOR

MOROCCO, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pelajar di Timur Tengah supaya ‘menggali’ petunjuk moral dalam mengharungi cabaran semasa dalam abad ketika ini.

Katanya, petunjuk moral itu perlu diseimbangkan dengan elemen kerohanian yang tinggi dalam kehidupan supaya tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Beliau turut memberikan contoh kata-kata dari saintis terkemuka dunia, Albert Einstein yang menjelaskan Sains tanpa agama adalah tempang dan agama tanpa Sains ia juga buta.

“Ia bermaksud kita boleh membincangkan soal teknologi, Internet Of Things (IOT) tetapi tanpa agama kita akan tempang dan agama tanpa Sains juga akan membutakan kita. Kita tidak akan mempu bersaing dengan dunia yang penuh cabaran ini.

“Oleh itu, di Selangor, Kerajaan Negeri mengimbanginya. Kita mempunyai Maahad Tahfiz Integrasi Sains supaya pelajar yang mempunyai ilmu agama ini mempunyai kemahiran dalam Sains juga.

“Tidak kira dalam bidang mana kita belajar, tetapi mesti diseimbangkan dengan agama Islam,” katanya dalam pertemuannya dengan pelajar Selangor di Rabat.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mahu pelajar itu mengambil kesempatan di Timur Tengah untuk menguasasi beberapa bahasa lain selain Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Katanya, hal itu kerana pelajar terbabit bertuah kerana berada di satu-satunya bumi yang membicarakan tentang prinsip Maqasid Shariah dan Pusat Islam ketika ini.

“Pelajar perlu bersyukur ada di sini. Di bumi ini beberapa tokoh terkemuka lahir membicarakan prinsip ni ketika ini termasuk perdebatan hebat di Nusantara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Selangor meletakkan dasar jelas yang mahukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memainkan peranan besar bagi mendukung agama Islam dalam pelbagai bentuk komitmen.

“Kita memberikan peruntukan besar dalam mengurus dan pembangunan bagi membolehkan JAIS melaksanakan pelbagai bentuk komitmen.

“Kita yakin pentadbiran yang amanah akan memberikan pulangan yang besar kepada negeri dan sementara diberikan kuasa, saya mahu setiap sen dikeluarkan perlu dimanfaatkan bukan sahaja di Selangor tetapi anak-anak kita di sini,” katanya.

Mohamed Azmin berharap pelajar dapat berkhidmat di Selangor selepas menamatkan pengajian supaya ilmu Islam disuburkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau turut menzahirkan rasa gembira dan teruja bertemu pelajar di tiga buah negara itu dalam mewujudkan persefahaman dan ukhuwah yang rapat serta merealisasikan gagasan pendidikan sebagai tembok utama dalam perencanaan pentadbiran Selangor.

=EZY=