Categories
SELANGOR

MBSA lancar GIFT, didik inisiatif hijau

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini melancarkan Kempen ‘Green Initiative For Taska’ (GIFT) melibatkan penyertaan 200 pengusaha taska.

Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin berkata, ia merupakan landasan mendidik dan mengasuh kanak-kanak pra sekolah tentang kepentingan tumbuhan hijau dalam kehidupan seharian.

Katanya, ia merupakan kesinambungan program Zon Bersih dan Zon Bersih Mini (Mini ZeeBee) selain selaras dengan objektif Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon 2030.

MBSA GIFT (1)“Kita mahu melentur buluh dari rebungnya menerusi cara didikan yang betul.

“Sama-sama kita mendidik anak-anak ini agar mereka bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam semulajadi dan tidak hanya membesar menjadi manusia celik teknologi maklumat (IT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen GIFT di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar dan Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Mahanom Basri.

Shukri berkata, setiap taska akan mewujudkan ‘edible garden’ atau menggunapakai konsep Kejiranan Hijau bersesuaian dengan persekitaran.

“Taska juga turut menerapkan di dalam silibus pembelajaran mereka mengenai ‘Science, Technology, Engineering and Mathematics’ (STEM).

“Ia sebagai salah satu langkah memberikan pendedahan secara menyeluruh mengenai kepentingan kehidupan hijau,” katanya.