Categories
NASIONAL

MTUC garis 13 perkara perbaiki nasib pekerja

SHAH ALAM, 1 MEI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggariskan 13 perkara dalam memperbaiki nasib pekerja negara ini sempena sambutan Hari Pekerja 2017 yang disambut hari ini.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, ia termasuk gesaan meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan caruman pekerja dalam badan berkanun itu tidak dilabur dalam entiti yang mengeksploitasi pekerja yang mampu mengancam pergerakan kesatuan sekerja.

Memandangkan KWSP adalah satu-satunya faedah persaraan bagi pekerja sektor swasta, Solomon berkata, MTUC juga menuntut semakan semula kadar dividen yang diisytiharkan bagi 2016.

“Dalam konteks kos sara hidup yang terus meningkat, para pekerja perlu diberi nilai yang sebenar semasa mereka bersara,” katanya lapor portal FreeMalaysiaToday.

MTUC LOGOMTUC merujuk kepada kadar dividen KWSP bagi tahun 2016 yang diumumkan Februari lalu. Bagi tahun 2016, KWSP mengumumkan 5.7 peratus sedangkan tahun 2015 menyaksikan bayaran 6.4 peratus.

Kongres itu mendakwa KWSP yang mencatatkan pulangan lebih baik tahun lalu harus membayar kada dividen yang lebih baik berbanding 2015.

Solomon berkata, MTUC juga mahu gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 manakala bayaran khas Cola RM300 diperkenalkan bagi pekerja dalam kategori pendapatan B40 dan M40 dalam memastikan keadilan ekonomi lebih baik,

“Ini akan membantu mengatasi masalah kos hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam perutusan tahun ini, MTUC juga mahu aspek perumahan mampu milik dan pinjaman perumahan pada kadar rendah yang munasabah disediakan dengan segera.

Mengenai kesan buruk bergantung kepada pekerja asing, Solomon menambah, pekerja tempatan tidak boleh digantikan dengan pekerja asing sebaliknya, garis panduan bagi memastikan majikan hanya menggaji pekerja asing dalam perspektif yang betul harus digubal.

“Di samping itu, pekerja asing haus diberi hak sama rata serta hak untuk menyertai kesatuan,” katanya.