Categories
PBT SELANGOR

Muzium Mini MPSJ mesra pengunjung tampil kelainan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 MEI : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganggarkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi pembinaan Muzium Mini MPSJ di Kompleks 3C, awal 2018.

Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya kini sedang meneliti kertas cadangan dan pelan dasar awalan pembinaan muzium mini itu.

“Kita mahukan pembinaan muzium mini yang lebih mesra pengunjung dengan tidak terhad kepada bahan bacaan atau paparan info di atas kertas sahaja tetap mungkin ianya lebih bersifat digital.

“Antara cadangan konsep muzium mini ini perlulah bercirikan moden bagi menarik masyarakat awam datang selain tampil dengan kelainan berbanding muzium PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang lain,” katanya.

Selain itu katanya, muzium mini berkenaan akan menempatkan bahan bacaan berkaitan sejarah pengurusan MPSJ dan informasi berkaitan perbandaran itu.

Difahamkan, pembangunan mini muzium berkenaan akan dibangunkan di atas tapak Zoo Mini Kompleks 3C.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zulkurnain berkata, Zoo Mini Kompleks 3C kini tidak lagi dibuka untuk orang awam ekoran peningkatan operasi premis itu.

“Kami terpaksa menanggung kos yang terlalu tinggi untuk penjagaan haiwan di zoo terbabit. Kini, haiwan-haiwan di sana akan dijual dan diserahkan kepada pihak yang berminat.

“Pada masa sama, masyarakat yang ingin melihat haiwan atau tumbuhan flora dan fauna bolehlah berkunjung ke Zoo Sunway Lagoon yang tidak jauh dari Kompleks 3C,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan, Kompleks 3C kini menerima 1,000 pengunjung sehari terdiri daripada pelajar sekolah dan masyarakat tempatan.

=EZY=