Categories
GLOBAL

NSA: Rusia dalang serangan siber Pilihanraya Presiden Perancis

WASHINGTON 10 MEI: Ketua Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat, berkata Rusia mendalangi pencerobohan komputer pasukan kempen Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Pegawai AS juga sudah memaklumkan kepada Perancis bahawa serangan siber sedang dilancarkan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pencerobohan komputer ke atas kempen Macron, beberapa jam menjelang pilihan raya pusingan kedua Ahad lalu menyaksikan beliau terpilih, membawa kepada pendedahan ribuan fail di atas talian.

“Kami menyedari aktiviti Rusia. Kami bercakap dengan rakan sejawatan kami di Rusia sebelum pengumuman mengenai peristiwa hujung minggu lalu dan memberikan amaran kepada mereka.

“Kami memerhati Rusia, melihat mereka menyusupi beberapa infrastruktur. Ini apa yang kami lihat, apa perlu kami buat untuk cuba membantu,” kata Laksamana Mike Rogers kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat. Rogers tidak menyatakan jenis ‘infrastruktur’ yang terjejas.

Katanya, agensi berhubung dengan badan sama di Britain dan Jerman menjelang pilihan raya di negara berkenaan lewat tahun ini.

=EZY=